Tuesday, March 9, 2010

Ceritera Hidup

Hari ini aku menggagahkan diri untuk membuat sedikit perubahan. Bahasa Melayu akan kujadikan bahasa yang utama dalam penulisan blog ini. Bukan kerana tidak suka pada bahasa Inggeris walaupun aku tidak dapat menguasainya dengan baik, tapi mungkin kerana apa yang ingin ditulis tidak sampai secara keseluruhannya. Atau dengan kata lain ia menjadi kekangan kepada aku untuk menyampaikan sesuatu.

Rutin hidupku sebagai pelajar semester kedua tahun pertama di UIA ini masih aku teruskan dengan baik. Biarpun pelbagai dugaan yang menimpa, aku tahu aku sepatutnya berasa lebih bersyukur terhadap apa yang dimiliki. Sokongan rakan-rakan amat mengharukan aku. Mereka seolah-olah dapat membaca apa yang hadir di benak fikiranku. Ukhuwwah yang terbina akan lebih bermakna kiranya kita sama-sama dapat menyemai rasa belas dan tanggungjawab terhadap diri dan insan di sekeliling.

Minggu lepas, keputusan peperiksaan midsem diumumkan. Namun, bukanlah bermakna keputusan terpampang di papan kenyataan sebaliknya setiap pelajar perlu berjumpa mentor masing-masing bagi mengetahui result mereka. Mungkin ini akan memberikan lebih keselesaan bagi setiap pelajar agar keputusan mereka tidak diketahui pelajar lain. Dan seperti sudah dijangka, keputusan aku menunjukkan kemerosotan yang agak membimbangkan. Aku tahu semester ini aku lebih banyak menghabiskan masa dengan perkara luar dan bukannya dengan mengulangkaji. Sedangkan mata pelajaran semester ini lebih susah dan mencabar. Tapi tak mengapa, peluang masih lagi ada untuk meningkatkan prestasi sem ni kerana peperiksaan final lebih kurang dua minggu dari sekarang. Aku mencari partner untuk membentuk study group walaupun hanya seorang dan Alhamdulillah dah pun jumpa.

Bercakap mengenai kewangan, aku memang merasai sedikit sebanyak kesempitan wang pada waktu ini walaupun wang JPA masih lagi ada. Apa tidaknya, untuk tempoh sehingga Julai ini, aku perlu membayar duit sewa rumah untuk 3 bulan, bil air dan elektrik untuk 6 bulan dan yuran bulanan Streamyx untuk 6 bulan walaupun rumah yang disewa ini dihuni oleh 10 orang. Bebanan kewangan agak terasa. Lebih terkilan dengan sikap rakan yang sentiasa mengungkit keselesaannya menghuni mahallah atau asrama yang perbelanjaannya tidaklah banyak mana. Namun aku tabahkan hati dan memujuk diri bahawa kesusahan mengajar kita erti lebih bersyukur dengan pemberian tuhan.

Berjumpa lagi di entri yang akan datang InsyaAllah..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...