Thursday, February 26, 2009

Tak Lapuk Dek Hujan, Tak Lekang Dek Panas

(sambungan)...

Saya juga masih ingat salah satu pantun yang dijual oleh Saudari Nur Dalila mewakili Sekolah Raja Perempuan Taayah ketika bertanding di peringkat akhir Pesta Pantun peringkat negeri Perak tahun 2003 yang mempunyai susunan dan ritma yang begitu baik dan indah sekali,

Berserak putik bersilang di desa,
Subur cempaka di baruh meranti,
Semarak patriotik menjulang bangsa,
Dilentur apa dek keruh hati?

 
Satu perkara lagi yang menjadikan pesta pantun lebih mencabar adalah berkenaan tema khusus yang disediakan pada setiap pusingan yang begitu pelbagai. Sebagai contoh, saya pernah menempuh tema-tema yang memerlukan kerja keras dan pengetahuan yang mendalam seperti ‘Integrasi Nasional’, ‘Semangat Kejiranan’, ‘Ilmu Pelita Hidup’ dan ‘Nilai Masa’ selain daripada tema-tema seperti ‘Semarak Patriotik’ dan ‘Meritokrasi Penjana Kegemilangan’ yang pernah saya dengar sebelum ini. Hal ini kerana, untuk mendapat skor tertinggi dalam pantun jual yang dicipta, pantun tersebut perlu mempunyai untaian kata yang indah yang tersembunyi makna yang mendalam di sebaliknya. Kebiasaannya, kemahiran ini lebih menumpu kepada usaha menggarap peribahasa dalam pantun yang dicipta. Sebagai contoh, saya pernah menggunakan peribahasa seperti ‘berkerat rotan berpatah arang’ dan 'sedang rebung elok dipatah, jadi buluh melepuh jari'. Selain itu, saya juga tertarik dengan penyampaian pemantun Sekolah Raja Perempuan Taayah yang banyak mempraktikkan penggunaan peribahasa dalam pantun mereka. Sebagai contoh, mereka pernah menggunakan peribahasa ‘seperti lidi terbetas di tali’ dan ‘seperti memanjat terkena seroda’ yang sememangnya begitu jarang kita dengar. Saudari Nur Jannah dari sekolah tersebut mempraktikkannya pada tahun 2003 dalam pantun yang berikut;

Serindit putih di dahan manggis,
Ke mana pergi si burung kenari;
Sakit merintih panahan Portugis,
Mengapa lidi terbetas di tali?

 
Bagaimanapun, yang menjadi persoalan kini adalah sejauh manakah kita menghargai seni pantun Melayu yang menjadi warisan berharga bagi rakyat di negara ini. Jika kita menghayati juga irama-irama lagu Melayu turut menyelitkan banyak pantun-pantun yang membawa mesej-mesej tertentu. Sebagai contoh, lagu ‘Joget Berhibur’ dendangan Datuk Siti Nurhaliza banyak diselitkan dengan pantun-pantun Melayu seperti,

Sorok di peti bunga kasturi,
Kainlah songket habis berbau,
Pujuklah hati bawa menari,
Menari joget lagu Melayu.

(bersambung)...

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...