Thursday, March 5, 2009

ANTARA TAKDIR DAN HARAPAN

Hidup ini ibarat roda..
Hidup di tengah kota..
Penuh cabaran dan dugaan..
Hadapi ia dengan tabah..

Masih terngiang-ngiang lagi lirik lagu nasyid yang pernah dipersembahkan oleh kumpulan nasyid tingkatan 4 tahun 2005 yang mana aku sedikit sebanyak menyumbangkan bakat saya melalui percussion untuk kumpulan yang diketuai oleh Farizal Omar itu. Memang benar hidup ini ada naik dan jatuhnya. Tak selamanya kita berada di atas dan tak selamanya kita berada di bawah. Pengalaman yang lepas terkandung banyak perkara yang sukar dilupakan. Lebih-lebih lagi pengalaman yang pahit. Tetapi pengalaman yang perit itulah yang mendewasakan kita.

Bukan tidak dapat menerima hakikat yang sudah ditetapkan oleh Ilahi, tetapi ujian yang diberikan kadangkala di luar jangkauan kita. Namun begitu, saya berserah kepada takdir dan sentiasa berdoa agar saya berjaya menjadi pegawai farmasi yang dapat berkhidmat pada masyarakat pada suatu masa nanti. Saya tahu adalah begitu sukar menerima kenyataan bahawa aku tidak lagi dapat melanjutkan pelajaran untuk Bachelor of Pharmacy di Curtin University of technology, Perth bagi kemasukan februari 2009 ini. Tetapi saya sentiasa bersyukur akan segala kejayaan yang ditempa sejak di bangku sekolah lagi. Saya yakin bahawa Allah itu Maha Adil akan segala sesuatu. Mungkin ada banyak hikmah yang tersembunyi.

Saya kini sedang berusaha memohon untuk menyambung pelajaran di IPT tempatan dalam bidang yang sama. Cuma untuk menyambung pelajaran di IPTA tempatan dalam bidang yang sama bukanlah mudah untuk diri saya yang hanya mempunyai sijil South Australian Certificate of Education (SACE). IPTA tempatan mempunyai kuota tersendiri bagi pelajar-pelajar yang ingin memohon melanjutkan pelajaran. Sebagai contoh, UKM sendiri tidak menerima permohonan daripada pelajar-pelajar persediaan untuk ke luar negara dalam bidang perubatan, pergigian dan farmasi sebaliknya membuka peluang itu hanya kepada pelajar-pelajar lepasan Matrikulasi dan STPM. Hanya yang boleh dimohon untuk Ijazah Sarjana Muda Farmasi kini hanyalah IIUM dan UiTM bagi pelajar program persediaan di INTEC. Saya juga berpeluang membuat permohonan untuk Ijazah Sarjana Muda Sains Bioperubatan di UKM dengan menghantar surat permohonan ke bahagian Jabatan Pendaftar.

Jangan difikir derita akan berpanjangan...
Kelak akan membawa putus asa pada tuhan...
Kerana biasanya kabus tak berpanjangan...
Setelah kabus berlalu pasti cerah kembali...

Menghayati rangkap ini daripada lirik lagu ‘Kehidupan’ yang dinasyidkan oleh kumpulan In-Team bersama Nazrey dari kumpulan Raihan memberi satu nafas baru kepada saya untuk meneruskan hidup. Sebenarnya adalah begitu sukar untuk mempunyai keyakinan yang tinggi di saat-saat begini ketika ramai yang tidak memberi sokongan yang padu. Tetapi itulah sebenarnya manusia. Ada yang baik hati dan ada juga yang tidak. Ada yang sentiasa mencari kelemahan kita dan ada yang tidak. Tetapi diri kita perlulah sentiasa berbuat baik kepada semua orang walaupun orang itu tidak berkelakuan baik terhadap kita. Kadangkala, dengan mengambil iktibar daripada apa yang disampaikan oleh Dr. HM Tuah Iskandar Al-Haj dalam buku-bukunya seperti ‘Biar Betul-betul’, ‘Sendiri Mau Ingat’ dan ‘Membina Imaginasi Cemerlang’, saya seperti mendapat motivasi kembali bahawasanya individu cemerlang akan sentiasa bangkit dari kegagalan. Beliau pernah menyebut bahawa mengapa perlu pelajar-pelajar universiti berputus asa untuk meneruskan hidup hanya kerana masalah cinta ataupun kerana tidak berjaya mendapatkan pekerjaan tetap sedangkan mereka adalah individu cerdik pandai yang berharga pada negara.

1 comment:

  1. stiap yg blaku pasti ada himah nya.... bsabar ye..

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...