Friday, December 11, 2009

Di mana ketenangan itu

Roda itu akan terus berputar selagi mana kehidupan itu diteruskan. Yang berada di atas tidak akan selamanya mengecapi nikmat tersebut andainya terpunah kesedaran di jiwa. Pengakhiran yang baik adalah sesuatu yang sentiasa diharapkan. Meskipun ianya masih jauh atau mungkin sudah dekat, ranjau masih menjadi seroda yang membuatkan kita menjadi lebih bersedia dan matang. Hanya ilmu membuatkan kita bangun kiranya rebah, celik kiranya pandangan menjadi kabur, ikhlas kiranya hati dilanda hasad dan suci kiranya hati sudah ternoda. Permainan dunia sering membatasi kita kepada taqarrub kepada Allah S.W.T. Moga hati ini tabah menghadapi segalanya.

Sejarah hidup menjadi panduan kepada penambahbaikan diri di masa mendatang. Ilmu yang bermanfaat itu menjadikan kita insan berguna dan bukannya leka dengan nikmat yang sementara semata-mata. Empat perkara yang perlu diambil berat dan dihindar seadanya: ilmu yang tidak bermanfaat, nafsu yang tidak kenyang, hati yang tidak khusyu' dan doa yang tidak didengari. Perkara-perkara ini mungkin menjadi penyebab utama diri dengan mudah tersadai dek badai dunia.

Kemanisan dunia hanya datang dan pergi. Kebahagian di akhirat sahaja yang akan kekal selamanya. Adat hanya sesuatu yang dicipta manusia sedangkan syariat itu ditetapkan oleh Allah pencipta alam, tuhan yang selayaknya disembah. Manusia akan terus merancang tetapi Dia sahaja yang menentukan. Moga kekuatan pada diri untuk bangkit dari lena dan memperjuangkan Islam akan terus bersemi dan menjadi sebahagian dari kehidupan kita. Iman yang terpasak di jiwa menjadi penyelamat dalam menghadapi kancah dunia. Dan moga ketenangan hadir menyinari hidup ini..

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...