Pada suatu ketika saya berasa lega dengan penerangan pegawai Amanah Saham Berhad cawangan Kuantan yang berceramah tentang skim amanah saham syarikat ini di universiti ini pada awal tahun yang lalu. Beliau menyatakan dan menunjukkan keratan berita mengenai keharusan hukum melabur dalam ASB dan ASN. Namun begitu, setelah mengikuti penerangan dan pandangan daripada Ustaz Zaharuddin melalui laman web beliau, barulah diketahui bahawa hukum harus itu hanyalah pada kemaslahatan pelaburan itu sendiri berikutan ramainya pelabur beragama Islam yang melabur dalam skim simpanan ini. Sebaliknya, kaedah dan implementasinya adalah bercanggah dengan panduan sebuah saham amanah yang diiktiraf patuh syariah oleh Majlis Penasihat Syariah, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.
Berikut adalah petikan berita mengenai keputusan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan mengharuskan pelaburan dalam ASN dan ASB:
Pengerusi Jawatankuasa Fatwa, Prof Datuk Dr Abdul Shukor Husin berkata, hukum bagi pembayaran dividen hasil pelaburan kedua-dua skim berkenaan juga adalah harus.
"Dengan sebab itu kita merasakan bahawa masyarakat Islam tidak perlu ragu-ragu lagi terhadap status melabur di dalam skim ASN dan ASB," katanya kepada pemberita selepas Majlis Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam kali ke-80 di sini hari ini.
Turut hadir adalah Setiausaha Jawatankuasa Fatwa, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz.
Sebenarnya saya sudah menyimpan wang di ASB (akaun Ting!) sejak di bangku sekolah rendah lagi atas dorongan ibu bapa. Mungkin ketika itu keraguan sumber dan pelaksanaan skim pelaburan ini masih tidak diuar-uarkan secara meluas. Setelah meneliti fakta-fakta mengenai hukum pelaburan ini, saya merasakan adalah lebih baik untuk saya meninggalkan skim pelaburan ini kerana sumber dan pelaksanaannya terdapat keraguan (syubhah). Jika terdapat sebahagian peratusan daripada dividen yang diberi berpunca dari sumber yang haram (contohnya riba), maka wang dividen yang kita guna itu menjadi haram. Justeru, langkah yang terbaik adalah dengan meninggalkannya. Bukankah banyak lagi skim pelaburan lain yang berasaskan Islam yang diketahui kehalalan sumbernya dan diiktiraf Majlis Syariah? Fikir-fikirkanlah..
kalo ragu2, jangan guna. hehe.
ReplyDelete