Assalamualaikum warahmatullah.
Syukur kerana masih dapat bernafas dengan nikmat kurniaan Allah s.w.t. ini. Moga-moga kita dilimpahkan rahmat dengan meningkatkan ketaqwaan kepada-Nya. Sedar tak sedar kita sudah hampir dengan bulan Ramadhan yang mulia dengan berbaki beberapa hari lagi di bulan Syaaban ini. Semua orang menunggu ketibaan bulan yang penuh rahmah dan maghfirah ini. Walaupun umat Islam bakal diduga dengan amalan berpuasa selama sebulan, namun balasan yang diterima bagi setiap amalan adalah berganda berbanding dengan bulan-bulan Islam yang lain.
Apabila umur sudah mencecah 20-an ini, pastinya banyak kenangan tentang bulan Ramadhan yang lepas yang saya ingin ceritakan. Terus terang saya katakan untuk berpuasa sebulan penuh bukan sesuatu yang mudah lebih-lebih lagi saya ini seorang yang mudah penat. Namun, rukun Islam ketiga ini wajib dilakukan oleh setiap Muslim bagi membuktikan keimanannya dalam menahan lapar dan dahaga serta perkara-perkara yang membatalkannya. Sebenarnya, bulan puasa banyak membuka ruang untuk setiap Muslim mengurangkan dari berbuat dosa, lebih-lebih lagi yang melibatkan percakapan. Lidah adalah alat yang paling tajam dalam menebarkan fitnah, melemparkan kutukan dan sebagainya yang mengundang dosa. Namun, apabila tiba bulan Ramadhan, kita kurang bercakap dan mengambil peluang membanyakkan ibadah seperti solat sunat dan membaca al-quran.
Sesungguhnya, banyak kenangan saya dalam bulan mulia ini. Masih saya ingat lagi pada tahun 2008, trial examination dari SSABSA (AUSMAT program) dijalankan pada bulan Ramadhan. Yang membuatkan saya tak boleh lupa adalah kerana peperiksaan tersebut dijalankan pada pukul 7 pagi (9 pagi waktu Australia) bagi mangikut arahan pengelola dari Australia untuk menjalankannya serentak di seluruh dunia. Tak dapat bayangkan betapa kami terpaksa rushingselepas bersahur dan solat subuh untuk menaiki bas dari Seksyen 18 (Kolej Cemara - asrama) ke Seksyen 17 (INTEC). Seawal 6.30 pagi (gelap lagi) kami sudah beratur di luar Dewan Serbaguna INTEC. Memang pengalaman ini takkan dapat dilupakan. Satu lagi perkara yang takkan saya lupa apabila belajar dengan orang bukan Islam di INTEC adalah melihat mereka membawa bungkusan makanan yg dibeli di café dan dibawa ke kelas dalam bulan Ramadhan. Dugaan juga. Tapi bila dah belajar di UIA ni, tak nampak lagi suasana begitu.
Disebabkan cuti semester mulai tahun ini dilewatkan disekalikan dengan bulan ramadhan dan Aidilfitri, pastinya pelajar ijazah tidak lagi berkesempatan merasai suasana berpuasa di bulan Ramadhan ketika belajar. Sehinggalah saya menamatkan program ini dalam masa 2 tahun dari sekarang insyaAllah, pasti suasana berbuka puasa dengan rakan-rakan di masjid berhampiran dirindui. Suka untuk saya katakan, selain dari makanan yang disediakan memang sedap dan lengkap, berbuka puasa di masjid adalah salah satu aktiviti berjemaah dan boleh menjimatkan wang belanja pelajar. Kalau di sekolah menengah dulu, pelajar asrama kebiasaannya tidak menghadapi masalah untuk membeli makanan untuk berbuka kerana segalanya disediakan oleh pihak dewan makan.
Aktiviti bersahur juga apa kurangnya. Kadangkala ada rakan serumah yang masak dan kadangkala keluar bersahur di restoran2 yang dibuka termasuklah restoran francais yang terkenal. Ada juga yang jenis berat bangun awal pagi, jadi bersahur pun entah ke mana. Sedangkan berkat bersahur itu amat banyak termasuklah dapat menahan lapar sehingga waktu berbuka. Yang mana terlupa untuk bangun bersahur, mulalah di pagi harinya menyesal tak sudah.
Daripada Anas bin Malik r.a., Nabi s.a.w. bersabda: “Bersahurlah! Sesungguhnya terdapat padanya keberkatan.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Sesungguhnya tidak sempurna bulan Ramadhan jika aktiviti-aktiviti ibadah tidak ditingkatkan. Antaranya, tadarus Al-quran (termasuklah khatam al-quran dalam masa sebulan), qiamullail, tarawikh dan sebagainya menerbitkan peluang bagi umat Islam menambahkan pahala dan meningkatkan ketaqwaan. Dan sesungguhnya dalam bulan Ramadhan itu terdapat malam lailatul qadar yang lebih baik dari seribu bulan yang ditunggu2 oleh orang-orang yang beriman.
“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.” (Surah Al-Baqarah: 183)
No comments:
Post a Comment