Saturday, July 24, 2010

Bahaya Leptospirosis

Kalau sebelum ini kita dikejutkan dengan berita seorang remaja perempuan yang lumpuh separuh badan ke bawah akibat jangkitan kuman daripada air kencing tikus, beberapa hari yang lepas kita dikejutkan sekali lagi dengan berita kematian 6 orang penduduk kampung dalam tempoh seminggu selepas operasi menyelamatkan seorang mangsa lemas di Hutan Lipur Lubuk Yu, Maran, Pahang akibat jangkitan yang sama. Kejadian ini menyebabkan Hutan Lipur Lubuk Yu diarahkan ditutup pada 10 Julai yang lepas sehingga kerja-kerja pembersihan dijalankan dan sungai tersebut disahkan selamat kepada orang ramai. Bakteria spirochete, Leptospira spp., yang disahkan penyebab kematian 6 orang penduduk kampung tersebut berpunca daripada air kencing haiwan pembawa seperti tikus, anjing, arnab dll. Kejadian tersebut mungkin berlaku disebabkan air sungai di hutan lipur tersebut dicemari najis dari haiwan-haiwan pembawa tersebut.

Usaha pembersihan Pusat Rekreasi Lubuk Yu bermula

Fakta mengenai bacteria Leptospira spp. dan jangkitan leptospirosis:

  1. Orang ramai mudah dijangkiti penyakit ini menerusi pendedahan terhadap air, makanan dan tanah yang dicemari air kencing haiwan tersebut sama ada melalui sentuhan atau makan makanan yang tercemar. Bakteria ini boleh berpindah dari seseorang individu dengan individu yang lain dan perenang dan peluncur adalah golongan yang berisiko tinggi mendapat jangkitan ini.
  2. Antara simptom-simptom penyakit ini adalah demam, sakit kepala yang teruk, sakit sendi, muntah, sakit perut dan cirit-birit.
  3. Komplikasi jangkitan ini termasuklah meningitis, hilang pendengaran dan kegagalan buah pinggang dan hati.
  4. Rawatan yang perlu dijalankan ke atas pesakit adalah dengan memberikan antibiotik seperti cefotaxime, ampicillin dan amoxicillin kepada pesakit. Deoxycycline boleh digunakan sebagai langkah pencegahan. Setakat ini, tiada vaksin untuk orang ramai bagi penyakit ini.

Leptospirosis spp.

Selain itu, Jabatan Kesihatan Pahang mengesahkan baru-baru ini bahawa 10 daripada 19 mangsa yang terbabit dalam operasi menyelamat mangsa lemas di hutan lipur tersebut dijangkiti wabak Melioidosis selain Leptospirosis. Meliodosis disebabkan jangkitan bacteria gram-negatif Burkholderia pseudomallei yang sedikit berbeza daripada bacteria leptospira. Ia dijumpai di permukaan air dan di dalam tanah. Antara simptom-simptom jangkitan ini adalah demam, sakit dada yang berkemungkinan kerana penyakit pneumonia dan osteomyelitis (sakit tulang dan sendi). Penyakit ini boleh dirawat dengan Intravenous Ceftazidime.

Burkholderia pseudomallei

Berdasarkan kejadian yang berlaku, kita perlu sedar bahawa kebersihan itu penting dari segala sudut termasuklah makanan dan minuman, tempat tinggal dan persekitaran kita. Sikap berdegil anak-anak untuk mandi sungai bersama rakan-rakan tanpa pengetahuan ibu bapa boleh mengundang musibah. Walau apa jua keadaan sekali pun, kematian adalah sesuatu yang telah ditetapkan oleh Allah dan kita yang masih hidup perlu mengambil pedoman terhadap apa yang terjadi.

Monday, July 12, 2010

Biasiswa JPA: Kuota vs Merit


Mengapa isu kuota pemberian biasiswa JPA untuk Program Ijazah Luar Negara (PILN) dan Program Ijazah Dalam Negeri (PIDN) hangat diperkatakan kini? Sememangnya setiap kaum cuba mempertahankan hak masing-masing. Apa tidaknya, nisbah mengikut kaum sebelum ini adalah tidak memuaskan sesetengah pihak. Dahulunya, nisbah pelajar bumiputera kepada pelajar bukan bumiputera adalah 70:30 sebelum diturunkan kepada 55:45 kini. Ketika saya ditawarkan biasiswa tersebut untuk membuat persediaan bagi melanjutkan pelajaran ke Australia 3 tahun lepas, saya adalah antara 1,800 pelajar yang bertuah ditaja JPA di Malaysia pada ketika itu yang menggunakan nisbah 70:30. Apa yang dapat dilihat adalah pelajar Melayu terpaksa berusaha keras untuk bersaing dengan pelajar Cina di peringkat pra-universiti yang kebanyakannya agak ketinggalan walaupun bukan semuanya.

Tutup sudah cerita PILN apabila kerajaan membuat keputusan untuk tidak menghantar pelajar ke luar negara untuk program ijazah pertama mulai tahun hadapan. Kini, yang hangat diperkatakan adalah PIDN. Namun pada hari ini kaum Melayu mendesak untuk menaikkan semula kuota bumiputera yang memperlihatkan Melayu berkongsi peratusan dengan pelajar penduduk peribumi. Mereka ingin kerajaan mempertahankan hak keistimewaan orang Melayu yang termaktub dalam perkara 152 perlembagaan Negara.

Dalam masa yang sama, kaum Cina ingin mengekalkan nisbah kini yang memberi ruang kepada pelajar-pelajar Cina yang berpotensi tinggi dan cemerlang dibandingkan dengan pelajar Melayu. Mereka ingin kerajaan menilai berdasarkan merit. Saya yakin sekiranya perkara ini dilaksanakan, orang Melayu akan mula menggigit jari kerana hanya dapat melihat lebih ramai pelajar Cina yang ditaja JPA berbanding pelajar Melayu. Kaum India pula berharap agar peratusan pelajar bukan bumiputera ditingkatkan bagi memberikan ruang kepada pelajar-pelajar berbangsa India yang cemerlang yang datang dari keluarga yang kurang mampu untuk belajar di peringkat universiti.

Berdasarkan jumlah pelajar yang ditaja oleh JPA untuk PILN bagi sesi 2010/2011, bilangan pelajar Melayu melebihi pelajar Cina dalam lingkungan 100 orang sahaja. Angka itu pasti mengejutkan beberapa pihak terutamanya orang Melayu yang pasti risau dengan kecemerlangan pelajar Cina yang tidak dapat dinafikan. Berdasarkan segala statistik dan harapan semua pihak, saya berpendapat bahawa nisbah 60:40 pelajar bumiputera kepda pelajar bukan bumiputera adalah bersesuaian. Ianya mempertimbangkan hak keistimewaan orang Melayu, taraf ekonomi setiap kaum, komposisi setiap kaum dan tahap kecemerlangan akademik. Saya yakin walaupun terdapat pelajar Cina yang cemerlang yang tidak mendapat biasiswa JPA, keluarga mereka masih lagi mampu menanggung mereka di peringkat universiti berdasarkan taraf ekonomi mereka yang tinggi.

Di samping itu, penilaian untuk melayakkan diri mendapat biasiswa berdasarkan keputusan akademik, kokurikulum, sosio-ekonomi dan temuduga masih begitu relevan. Apa pun, sekali lagi perlu diingat bahawa isu ini yang masih lagi dibahaskan dan apa jua keputusan perlu diterima dengan hati terbuka.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...