Monday, July 12, 2010

Biasiswa JPA: Kuota vs Merit


Mengapa isu kuota pemberian biasiswa JPA untuk Program Ijazah Luar Negara (PILN) dan Program Ijazah Dalam Negeri (PIDN) hangat diperkatakan kini? Sememangnya setiap kaum cuba mempertahankan hak masing-masing. Apa tidaknya, nisbah mengikut kaum sebelum ini adalah tidak memuaskan sesetengah pihak. Dahulunya, nisbah pelajar bumiputera kepada pelajar bukan bumiputera adalah 70:30 sebelum diturunkan kepada 55:45 kini. Ketika saya ditawarkan biasiswa tersebut untuk membuat persediaan bagi melanjutkan pelajaran ke Australia 3 tahun lepas, saya adalah antara 1,800 pelajar yang bertuah ditaja JPA di Malaysia pada ketika itu yang menggunakan nisbah 70:30. Apa yang dapat dilihat adalah pelajar Melayu terpaksa berusaha keras untuk bersaing dengan pelajar Cina di peringkat pra-universiti yang kebanyakannya agak ketinggalan walaupun bukan semuanya.

Tutup sudah cerita PILN apabila kerajaan membuat keputusan untuk tidak menghantar pelajar ke luar negara untuk program ijazah pertama mulai tahun hadapan. Kini, yang hangat diperkatakan adalah PIDN. Namun pada hari ini kaum Melayu mendesak untuk menaikkan semula kuota bumiputera yang memperlihatkan Melayu berkongsi peratusan dengan pelajar penduduk peribumi. Mereka ingin kerajaan mempertahankan hak keistimewaan orang Melayu yang termaktub dalam perkara 152 perlembagaan Negara.

Dalam masa yang sama, kaum Cina ingin mengekalkan nisbah kini yang memberi ruang kepada pelajar-pelajar Cina yang berpotensi tinggi dan cemerlang dibandingkan dengan pelajar Melayu. Mereka ingin kerajaan menilai berdasarkan merit. Saya yakin sekiranya perkara ini dilaksanakan, orang Melayu akan mula menggigit jari kerana hanya dapat melihat lebih ramai pelajar Cina yang ditaja JPA berbanding pelajar Melayu. Kaum India pula berharap agar peratusan pelajar bukan bumiputera ditingkatkan bagi memberikan ruang kepada pelajar-pelajar berbangsa India yang cemerlang yang datang dari keluarga yang kurang mampu untuk belajar di peringkat universiti.

Berdasarkan jumlah pelajar yang ditaja oleh JPA untuk PILN bagi sesi 2010/2011, bilangan pelajar Melayu melebihi pelajar Cina dalam lingkungan 100 orang sahaja. Angka itu pasti mengejutkan beberapa pihak terutamanya orang Melayu yang pasti risau dengan kecemerlangan pelajar Cina yang tidak dapat dinafikan. Berdasarkan segala statistik dan harapan semua pihak, saya berpendapat bahawa nisbah 60:40 pelajar bumiputera kepda pelajar bukan bumiputera adalah bersesuaian. Ianya mempertimbangkan hak keistimewaan orang Melayu, taraf ekonomi setiap kaum, komposisi setiap kaum dan tahap kecemerlangan akademik. Saya yakin walaupun terdapat pelajar Cina yang cemerlang yang tidak mendapat biasiswa JPA, keluarga mereka masih lagi mampu menanggung mereka di peringkat universiti berdasarkan taraf ekonomi mereka yang tinggi.

Di samping itu, penilaian untuk melayakkan diri mendapat biasiswa berdasarkan keputusan akademik, kokurikulum, sosio-ekonomi dan temuduga masih begitu relevan. Apa pun, sekali lagi perlu diingat bahawa isu ini yang masih lagi dibahaskan dan apa jua keputusan perlu diterima dengan hati terbuka.

2 comments:

  1. Salam Sejahtera bagi saya kelayakan untuk mendapat JPA adalah berdasarkan usaha seseorang individu itu dari segi akademik dan koko serta status keluarga bukan kaum .... adil ke jika seorang student bumi yang dapat 6A tapi keluarganya berada dapat tajaan JPA sedangkan student non-bumi yang dapat 10A tapi keluarganya hidup sederhana atau cukup2 untuk hidup tak dapat JPA ??. Saya dah tanya ramai kawan-kawan saya serta research pasal benda nie, memang di Malaysia perkara ini selalu berlaku. Yang kaya jadi makin kaya, yang miskin makin miskin. Ramai orang kata kalau kuota diturunkan habis orang melayu, tapi salah siapa ?? Ramai orang non bumi rajin sebabkan kuota itu wujud mereka perlu jadi the best to get something, orang bumi tidak perlu berusaha sebegitu keras untuk mendapat tempat di IPTA disebabkan kuota berpihak kepada mereka. Semua manusia diberikan otak untuk berfikir dan belajar, kaum bukan alasan, masing2 boleh belajar kalau malas dan tak berapa bijak salah diri sendiri. Bagi saya kalau asyik suap dan bagi alasan selama-lamanya mereka akan berperangai begitu. Maaf kalau saya ada tersinggung perasaan sesiapa tapi ini kebenaran, nak bukti just bandingkan negara kita dengan korea selatan dan singapura dari zaman 1970- sekarang. Dulu kita jauh atau setaraf dengan mereka seakrang kita di bawah mereka ..PEACE NO WAR !!!

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...