Friday, October 22, 2010

Membuang Elemen Negatif dalam Kemasyarakatan

Bismillahirrahmanirrahim.

Sampan kolek di hujung titi,
Tampak tenang tiada gelora,
Lama sudah blog ini menyepi,
Kini hadir membuka bicara.

Entri kali ini membawa anda memikirkan tentang perkara yang sentiasa menjadi penyakit dalam masyarakat kita khususnya orang Melayu. Suatu ketika dahulu, saya tertanya-tanya apakah idea yang disampaikan oleh penulis skrip drama adalah realistik dengan apa yang berlaku kini. Tapi setelah menyelami kehidupan yang sebenar, barulah saya mengakui betapa setiap elemen negatif dalam sesebuah drama memang ada berlaku dalam kehidupan kita seharian.

Saya tertarik untuk memfokuskan beberapa elemen negatif yang mungkin wujud dalam masyarakat kita pada hari ini. Mudah-mudahan ia menjadi iktibar untuk kita renungkan dan sentiasa bermuhasabah. Yang pertama - hasad dengki. Orang Melayu khususnya memang ada yang suka berdengki. Tak boleh tengok orang lain gembira. Tak boleh tengok orang lain senang. Ada sahaja perkara yang dia tak puas hati bila tengok orang lain gembira. Bagi dirinya, apa yang orang lain ada (keistimewaan), dia pun patut ada. Walhal dia tidak pula berusaha ke arah itu dengan cara yang baik sebaliknya menggunakan rancangan tidak baik agar orang yang gembira itu mengalami kesusahan. Perkara ini kadangkala berlaku pada mereka yang rapat dan telah membina kepercayaan antara satu sama lain. Apabila menerima hasutan dari orang lain (orang ketiga), maka unsur hasad mengaburi kepercayaan yang dibina.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
"Tidak berkumpul dalam hati seorang manusia antara iman dengan dengki."
(Hadith riwayat Ibnu Hibban dan Al-Baihaqi)


Contohnya, dulu saya selalu dengar yang orang kampung sangat mengambil berat antara satu sama lain di mana kemasyarakatan itu teguh dalam kalangan mereka. Tetapi bila ada 'makcik-makcik' yang menerima khabar anak rakan mereka yang berjaya - sama ada berjawatan besar, hidup mewah, berpendidikan tinggi, akan mendirikan rumah tangga dll, mereka mula merasa kurang senang. Lalu, ada yang menggunakan cara yang tidak baik (mungkin mem'bomoh', na'uzubillah) untuk menjadikan mereka puas hati (sekadar contoh).


Selain dari itu, ada juga individu yang menyimpan dasar 'egoism' dalam kehidupan sehariannya. Segala yang dilakukan adalah bertujuan untuk memberi manfaat kepada dirinya sahaja. Kadang-kadang kita tidak sedar bahawa perkara itu wujud dalam diri kita. Apabila perkara ini berlaku, ia turut mengundang gejala yang lain seperti rasuah. Kita selalu fikir rasuah melibatkan golongan-golongan bertaraf mewah - ahli politik, ahli perniagaan, institusi kehakiman dll. Tapi perkara ini juga berlaku pada mereka tidak kira apa jenis latar belakang kewangan sekali pun. Justeru konsep 'mempergunakan' orang lain bertakhta dalam diri setiap individu. Jika anda menyelami kehidupan yang sebenar, anda akan dapat membezakan golongan jenis ini dengan mereka yang melakukan setiap perkara demi mendapat rahmat dan kasih sayang dari tuhannya.

Mengapa kasih sayang sesama saudara Islam makin pudar sehingga ke hari ini? Kerana kita menjadikan orang lain sebagai tempat untuk kita mencapai tujuan yang kita rancangkan. Kita fikir perkara seperti itu tidak mengandungi unsur negatif. Tetapi kalau direnungkan semula, bayangkanlah apa yang anda akan rasa sekiranya semua individu di sekitar anda datang kepada anda, meminta anda berbuat sesuatu untuk kepentingan mereka dan pergi meninggalkan anda tanpa memberikan sedikit pun manfaat kepada anda. Lantas situasi sebeginilah yang menjadi barah dalam silaturrahim dan kepercayaan yang dibina.

Ada juga segelintir masyarakat kita pada hari ini yang menjadikan sedikit kelebihan yang mereka ada untuk 'menguasai' orang lain. Kita perlu faham bahawa konsep 'menguasai' orang lain ini adalah jauh dari konsep kepemimpinan (leadership) yang perlu kita ada. Bukan semua orang petah berkata-kata, bukan semua orang lahir dalam keluarga berada dan bukan semua orang terdidik untuk mahir dalam setiap perkara. Kadangkala, kita tidak perasan apabila kita hebat dalam sesuatu perkara, kita 'mengarah' dan marah orang lain yang kurang berpengetahuan dalam bidang itu. Kita suka menuding jari tanpa memikirkan yang setiap daripada kita tidak terlepas dari kesilapan.

Lantas unsur ini menanam sikap pemarah dalam diri kita apabila kita mengandaikan setiap individu di sekeliling kita sentiasa melakukan kesilapan (tak tahu dalam banyak benda) walhal kita juga ada melakukan kesilapan. Contohnya, apabila kita dipertanggungjawabkan untuk sesuatu tugas dalam sesebuah organisasi atau program, kita tidak boleh meletakkan expectation yang terlalu tinggi kepada orang yang bekerja di bawah kita sehingga mengambil keputusan untuk menyalahkan mereka dalam segenap perkara. Sebaliknya tegurlah dan berilah tunjuk ajar sebaiknya kerana setiap manusia ada hati dan perasaan.

Rasanya cukup sekadar ini dahulu untuk entri kali ini. Sehingga bertemu lagi.
Ma'as salamah.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...