Setiap Jumaat jam 9 malam. Kalau boleh saya nak tonton rancangan Akademi Al-Quran 4 (AQ4) selama satu setengah jam itu sepenuhnya. Namun, disebabkan tertindihnya waktu siaran rancangan tersebut dengan program Imam Muda, saya berbelah bahagi. Bukan saya seorang sahaja di rumah. Tapi tidak mengapa, saya tertarik untuk membuka cerita mengenai program AQ menerusi entri kali ini kerana Imam Muda merupakan sebuah program yang baru.
Dari pesertanya ke pengacara dan para jurinya, saya begitu kagum dengan program ini. Kalau AQ3 mempersembahkan Hajah Sharifah Khasif sebagai pesertanya dan Ustaz Zamri sebagai juri Tajwid & Fasohah, kini untuk AQ4, kedua-dua mereka digandingkan sebagai pengacara. Tempat Ustaz Zamri sebagai juri kini telah diambil oleh Ustazah Asni.
Finalis AQ3
Sebenarnya, saya tidak berkesempatan menyaksikan AQ3 pada tahun lepas. Jadi, apabila mengetahui Hajah Sharifah Khasif diumumkan sebagai Naib Johan, saya tertanya-tanya apakah sang juaranya adalah begitu hebat sehingga dapat mengalahkan Cik Sharifah – Johan Qariah Tilawah Al-Quran peringkat kebangsaan dan antarabangsa tahun 2009. Setelah meneliti di Youtube sedutan peringkat akhir, barulah saya tahu betapa hebatnya bacaan sang juara AQ3 – saudara Fakhrul Razi. Jika johan AQ2 – En. Anuar Hasin kini menjadi mursyid tarannum AQ4, saya percaya saudara Fakhrul Razi kini menjadi guru pembimbing Qari muda. Mungkin beliau mempunyai hanya sedikit penglibatan di peringkat antarabangsa sehingga kurang dikenali.
Apa yang membuatkan saya jatuh cinta untuk menonton rancangan AQ ini adalah format programnya yang menyelitkan cabaran kepada para peserta untuk menguasai bukan sahaja pelbagai jenis tarannum, bahkan pelbagai manhaj atau riwayat dari sudut Qiraat. Rata-rata kebanyakan peserta dapat menguasai ilmu tarannum dengan baik kerana telah dibimbing sejak kecil lagi tetapi mereka terpaksa berhadapan dengan ilmu Qiraat yang mungkin agak baharu bagi mereka. Penonton juga dapat mengenali serba sedikit tentang jenis-jenis tarannum seperti Nahawand, Sikah dan Rast, riwayat-riwayat yang wujud seperti Susi, Qalun dan Bazi dan istilah-istilah dalam tilawah seperti sattah, tabaqah dan istila’.
Jika diberi pilihan, saya ingin menyaksikan saudara Tirmizi Ali dan saudara Ramadan Razali melangkah ke peringkat akhir AQ4. Mengapa? Anda sendiri perlu menonton untuk melihat kebolehan mereka. Meskipun saudara Hasan Adli, salah seorang peserta yang juga merupakan senior sekolah menengah saya suatu ketika dahulu telah pun tersingkir, saya akan terus-menerus meminati AQ. Semoga program ini dapat memupuk dan melahirkan generasi yang mencintai dan memahami Al-Quran.
No comments:
Post a Comment