Friday, July 2, 2010

UPSR dan PMR dilupuskan?

Saya masih lagi memikirkan apa relevannya pihak kementerian mencadangkan pemansuhan peperiksaan UPSR dan PMR. Saya tidak condong ke mana-mana pihak sama ada melupuskannya atau terus mengekalkan kedua-dua peperiksaan awam tersebut. Hal ini kerana kita tidak melihat kelemahan yang nyata dalam meneruskan peperiksaan tersebut tetapi memansuhkan peperiksaan tersebut mungkin ada juga benarnya. Diimbas kembali saat kementerian mengambil tindakan melupuskan peperiksaan penilaian Tahap Satu (PTS) beberapa tahun yang lepas, kita mungkin dapat melihat ramai yang membantah. Tetapi, kesannya pelajar-pelajar sekolah rendah yang lulus PTS tidak lagi terbeban kerana ketinggalan pelajaran Tahun 4.

Wakil gabungan Guru Besar seMalaysia juga berpendapat bahawa Malaysia terlalu banyak menjalankan peperiksaan awam berbanding negara-negara yang lain walhal kepentingannya cuma sedikit. Mungkin kedua-dua peperiksaan tersebut hanya sebagai tiket sama ada seseorang pelajar itu berjaya menempatkan diri di sekolah berasrama penuh selain sebagai kayu ukur pencapaiannya sepanjang beberapa tahun tempoh akademiknya. Yang dilihat kini mempunyai kepentingan yang tinggi adalah peperiksaan SPM sahaja. Saya percaya proses pengambilan pelajar ke sekolah berasrama penuh akan lebih berkesan sekiranya diadakan ujian khas untuk pelajar-pelajar menempatkan diri mereka seperti MRSM dan sekolah saya sebelum ini.

Namun begitu, jika dilihat dari sudut yang lain, pemansuhan kedua-dua peperiksaan awam tersebut akan mengundang ketidakadilan sesebuah sekolah dalam menilai tahap pencapaiannya secara keseluruhan. Bagaimana guru-guru dapat membina semangat para pelajar untuk terus berjaya dengan menetapkan sasaran sedangkan peperiksaan tersebut dimansuhkan dan guru-guru sekolah itu sendiri akan memberikan markah kepada mereka? Selain itu, biarpun peperiksaan ini dilihat sebagai bebanan kepada pelajar, saya yakin mereka-mereka yang telah menghabiskan tempoh pengajian di sekolah menganggap perkara ini sebagai sesuatu yang menolak para pelajar untuk terus berusaha dan berusaha mengejar kejayaan.

Akhirnya, saya berpendapat meneruskan kesinambungan peperiksaan ini tidak menjadi satu masalah kepada para pelajar, guru-guru dan pihak pentadbiran demi kecemerlangan anak bangsa. Namun, jika cadangan tersebut dilaksanakan, saya tidak membantah kerana ini adalah isu kementerian kerana ia adalah sesuatu yang diputuskan oleh ahli akademik dan berdasarkan keperluan semasa. Bukankah kejayaan yang diraih lebih bermakna sekiranya apa sahaja perkara yang berlaku dapat dihadapi dengan baik?

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...