Saturday, June 4, 2011

Nak Sihat atau Obes?

Mungkin ada yang yang berasa sensitif apabila bercakap mengenai obesiti atau kegemukan. Sebenarnya membincangkan topik seperti ini adalah penting kerana ianya berkait rapat dengan gaya hidup sihat. Menjadi gemuk bukanlah permintaan setiap daripada kita. Akan tetapi, gaya hidup dan cara pemakanan kita yang menyumbang kepada masalah seperti ini. Apa yang saya dapati di Malaysia, kebanyakan masalah obesiti melanda orang Melayu berbanding dengan orang Cina. Di negara-negara barat juga, ramai yang mengalami masalah ini jika hendak dibandingkan dengan penduduk negara2 timur seperti Jepun, China dan Korea.

Hendak menyalahkan individu itu sendiri tidak boleh juga. Hendak menyalahkan ibu bapa yang tidak mendidik anak-anak makan secara sihat pun tidak boleh juga. Sebenarnya, banyak faktor yang menyumbang ke arah kegemukan. Misalnya, orang Melayu menikmati banyak juadah lauk-pauk yang mengandungi santan dan minyak seperti kari, gulai masak lemak, masak kurma dan segala yang bergoreng. Sedangkan jika anda menonton rancangan discovery mengenai makanan2 orang Cina, Jepun dan Korea, mereka kebanyakannya makan makanan yang dikukus dan direbus seperti sup dan seafood.

Jadi, adakah makanan orang Melayu ini dikategorikan sebagai ‘teruk’? Tidak sebenarnya. Makanan setiap bangsa menjadi lambang keistimewaan kaum mereka. Tak salah kalau nak makan makanan berlemak, tetapi jangan berlebihan. Tak salah kalau nak makan asalkan senaman dan bersukan tidak ditinggalkan. Ramai yang ada memikirkan bahaya kolesterol dalam lauk-pauk yang dimakan. Kolesterol memang bahaya kerana menyebabkan saluran darah tersumbat dan menyumbang kepada penyakit seperti serangan jantung dan strok. Namun begitu anda perlu tahu bahawa kolesterol dibahagikan kepada kolesterol jahat (LDL) dan kolesterol baik (HDL). Kolesterol jahat yang akan menyebabkan pelbagai jenis penyakit manakala kolesterol baik membantu menyingkirkan lemak dan kolesterol jahat dari badan. Berdasarkan fakta, senaman mampu meningkatkan tahap kolesterol baik dalam darah.

Sesetengah orang mengalami kegemukan disebabkan jadual kerja harian yang padat sehingga tiada waktu bersenam. Namun begitu, terdapat banyak alternatif untuk mengelakkan kegemukan seperti bersenam di rumah asalkan badan kita dapat berpeluh dan menggunakan tenaga. Untuk pengetahuan, kegemukan di awal usia boleh meyumbang ke arah penyakit seperti tekanan darah tinggi dan kencing manis di lewat usia 30an. Hal ini kerana tabiat makan yang banyak dan berkarbohidrat tinggi menyebabkan hyperinsulinemia iaitu kandungan insulin yang tinggi dalam darah untuk membolehkan gula dapat ditukarkan kepada tenaga oleh sel2 badan. Namun, semakin usia meningkat, pankreas tidak lagi dapat menghasilkan insulin yang cukup untuk kandungan gula yang tinggi dalam darah. Seterusnya, individu akan mendapat diabetes mellitus kesan daripada obesiti di awal usia.


Walk of Life 2008, Taman Tasik Titiwangsa

Penulis bukanlah seorang yang kurus sejak dari kecil. Di bangku sekolah rendah, penulis mengalami masalah kegemukan disebabkan cara pemakanan yang tidak betul. Ditambah dengan kurangnya bersenam, penulis mengalami masalah obesiti sewaktu zaman kanak2. Apabila usia meningkat ke alam sekolah menengah, penulis berhasrat mengurangkan makan. Dalam pada itu, disebabkan kawasan sekolah asrama yang agak luas menyebabkan penulis banyak berjalan dari asrama ke kelas setiap hari. Ditambah dengan tekanan dari suara2 ejekan dan perli yang tidak sedap didengar, penulis berazam untuk mengurangkan berat badan. Alhamdulillah, walaupun tidak sekurus orang lain kini, berat badan sekitar 70kg (normal untuk dewasa) adalah ideal untuk seseorang yang berketinggian 175cm. Justeru, keazaman yang tinggi memungkinkan segala harapan yang mungkin pada awalnya dilihat mustahil.

Ada juga rakan2 yang mengesyorkan meal replacement tetapi penulis sedaya upaya menolaknya. Meal replacement seperti herbalife sebenarnya bagus cuma kosnya agak tinggi hingga mencecah ratusan ringgit. Bagi mereka yang berasal dari keluarga yang mampu, ianya bukan masalah. Penulis percaya bahawa sekalipun terdapat banyak produk yang diambil untuk kurus tetapi ikhtiar untuk makan secara sihat (tidak berlebihan) tidak dipupuk, tiada kesan yang positif dapat dilihat.

Oleh itu, setiap orang perlu mengamalkan gaya hidup yang sihat dan mengawal pemakanan anda sebaiknya. Jangan makan mengikut hawa nafsu sehingga menyukarkan pernafasan. Ingatlah bahawa ‘you are what you eat’ dan punca pelbagai penyakit adalah dari perut dan makananlah yang menentukannya. Konsep untuk kurus mudah, iaitu sekiranya kalori yang digunakan (dibakar) melebihi daripada jumlah kalori yang diambil (dimakan), kegemukan tidak akan berlaku. Namun begitu, melaksanakannya bukanlah mudah. Ianya memerlukan kesabaran dan keazaman yang tinggi. Semoga input ini akan dapat membentuk masyarakat yang sihat.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...