Showing posts with label pharmacy. Show all posts
Showing posts with label pharmacy. Show all posts

Saturday, December 27, 2014

I'm back! Naa itu la tu..


Assalamualaikum warahmatullah.

Setelah sekian lama menyepi dari dunia blogging, akhirnya aku kembali. Yeahh!! Bukan tak mahu lagi update blog, tapi kekangan masa sebagai PRP (provisionally registered pharmacist) membuatkan blog ni diabaikan sementara waktu. Banyak perkara nak diceritakan sebenarnya. Bermula dari hari melapor diri sebagai penjawat awam sehingga la sekarang ni. Alhamdulillah, dah tamat pun zaman PRP yang 'like hell' dan sekarang dah pun menjadi FRP (fully registered pharmacist).

Bila kerja kat bumi di bawah bayu ni, ramai la yang bertanya "minta kerja kat sabah ke? atau kena campak?". Dan jawapan cliche aku, "memang mintak pun. asalnya nak kerja kat semenanjung je. tapi mak yang beriya2 suruh kerja jauh2 sikit." Of course la ramai terkejut bila dengar ada mak yang cakap macam tu. Ada yang siap cakap lagi, "mak ko tak sayang ko ke?" amboi kuajaq naa.. Habis tu kalau mak ayah hantar anak ke sekolah asrama yang jauh2 tu maksudnya tak sayang anak dah ke? haha. Tapi ada juga yang bagi respon positif, "mak ridzuan ni mesti berfikiran terbuka". Entah la. Walaupun mak aku ni sekadar ada SRP, tapi pendapat dia bagi aku dah setanding orang yang ada segulung ijazah. Meskipun pendapat dia kita pada awalnya tak suka, tapi bila diikutkan, ianya adalah yang terbaik buat kita. Sebab mak ayah lebih dahulu makan garam dari kita (banyak pengalaman).

Nak adapt dengan kehidupan di Sabah ni ambil masa sikit. Aku mengaku la yang aku ambil masa 2 bulan untuk betul2 membiasakan diri dengan kelainan cara hidup, bahasa, makanan dan tradisi masyarakat sabah ni. Tapi lama-kelamaan rasa seronok pulak tinggal kat sini (maksud aku kota konabalu la, tempat lain tak pasti). Ye la.. tol x ada, subuh awal sejam, ada banyak shopping complex dan bank2, dekat dengan pantai, pulau dan gunung.. Kat semenanjung tu kat mana je ada tempat macam ni. Pergi kerja pun dalam 10-15 minit dah sampai (untuk aku yang naik motor la). Kesesakan lalu lintas tu memang ada tapi tak seteruk kat KL.

Sekarang ni bila dah habis PRP rasa lega sikit. Kalau tak, macam xde life. Pagi pergi kerja then petang balik kerja untuk siapkan logbook waktu malam. Apa2 pun lagi kesian la tengok houseman bekerja. Aku datang pagi, diorang dah kelam kabut ada kat dalam wad untuk prepare for ward round. Aku balik pukul 5 petang tu pun ada ward round yang tak habis lagi. Dengarnya diorang datang keje sebelum pukul 6 pagi dan balik lepas pukul 10 malam. Tak dapat bayangkan camne diorang rasa. Bersyukur sangat aku kerja sebagai pharmacist je.

Berbalik kepada cerita negeri Sabah ni, perkara pertama yang perlu prepare sebelum bekerja kat sini ialah untuk belajar beberapa perkataan sabah yang lain sikit dari orang semenanjung. Tapi x banyak la yang beza kalau nak banding dengan sarawak. Cuma ada beberapa perkataan kena biasakan supaya senang nak kaunseling kat pesakit. Contohnya asma - ampus, gastrik - dugal, punggung - pantat, letak - simpan, merata-rata - ampai2, sorok - tapuk, terlepas - limpas dll. Maaf kalau ada perkataan yang censored. Tapi itulah bahasa orang Sabah ni. Sebenarnya susunan ayat semasa bercakap tu yang penting. Apa2 pun practice makes perfect. Haha.

Cukup la sekadar itu dulu buat masa ni. InsyaAllah ada ruang masa lagi kita ketemu dalam dunia blog ini. Ma'as salamah.

Ahmad Ammar dalam kenangan

27 Disember 2014M (5 Rabiul Awal 1436H) 5.28 pagi

Sunday, June 23, 2013

Membujur Lalu Melintang Patah

Aku bukanlah genius macam orang lain. Aku pun ada masalah untuk mengingat dan menghafal. Tak macam orang lain yang boleh faham dan ingat dengan sekali harung. Sebenarnya aku kerja kuat untuk dapatkan keputusan yang cemerlang setiap kali exam. Tanpa doa mak, abah dan guru2, aku bukanlah siapa2. Titik permulaan aku membina selangkah demi selangkah kejayaan adalah dengan membaca buku Dr. Tuah Iskandar Al-Haj, ‘Membina Imaginasi Cemerlang’. Aku baca buku tu waktu tingkatan 3 (2004). Memang waktu aku baca tu, aku tengah dalam grief sebab result peperiksaan I’dadi aku hanya JAYYID je. Kalau ditukarkan ke gred yang biasa kita guna, taraf C je. Rasa teruk sangat waktu tu sebab ramai rakan2 yang lain dapat MUMTAZ dan JAYYID JIDDAN.

Tapi nak diceritakan, Alhamdulillah buku tu menjadi pemangkin semangat dan motivasi aku waktu tu. Jalan bahasa buku tu lebih santai dan menceritakan contoh2 situasi dan konflik sebenar dalam kehidupan. Alhamdulillah berkat doa ibu bapa dan motivasi yang terbina, untuk pertama kalinya aku berjaya dapat no. 1 untuk peperiksaan pertengahan tahun untuk seluruh tingkatan 3 yang berjumlah lebih 100 orang. Memang semua orang terkejut sebab ada rakan2 lain yang lebih cemerlang lagi sebelum2 tu. Dan kecemerlangan tu diteruskan lagi sampai ke PMR dan SPM. Dari dulu, aku selalu berpegang pada prinsip ‘mungkin aku tidak sehebat mereka, tapi aku bukanlah selemah yang disangka’. Dengan prinsip ni la aku berani mencabar diri untuk menjadi cemerlang dalam kalangan bekas2 pelajar SBP dan MRSM sewaktu interview JPA (walaupun hanya memakai kemeja lengan pendek tanpa tali leher) dan menyelinap menjadi sebahagian rakan2 mereka sewaktu belajar dialam program Australian Matriculation. Aku diberitahu oleh Ketua Program AUSMAT di INTEC waktu tu, Assoc. Prof. Saadah yang ranking aku waktu SACE Exam adalah yang ke-89 daripada 300 pelajar AUSMAT kat INTEC tahun 2008. Satu pencapaian yang aku tak pernah jangka. Bukan senang nak kalahkan Chinese, Indian dan Malay yang bijak pandai. Tapi Alhamdulillah, berkat kerja keras dan doa, result yang keluar amat menggembirakan.

Kini, selepas 4 tahun, aku dah faham hikmah atas apa yang berlaku. Aku mungkin tak dapat belajar di luar negara untuk ijazah, tapi apa yang aku dapat bila belajar di IPTA ni terlalu banyak.  Peluang yang datang bila dapat memegang jawatan, mengendalikan sesebuah program, mewakili UIA dalam pertandingan dan conference, mungkin aku takkan dapat bila belajar kat negara orang. Kemanisan dalam belajar ialah apabila orang yang datang kat kita dan tanya soalan berkaitan pelajaran, dan kita dapat menjelaskan dan memahamkan dia bukan semata2 atas tiket genius dan bijak. Ianya satu kepuasan. Dan kepuasan yang lebih besar lagi adalah sewaktu hari graduasi nanti, kita dikurniakan segulung ijazah dalam keadaan kita menjalani kesemua peperiksaan dengan jujur, hadir menghadap pendidik setiap kelas yang ada dan kita cuba untuk menyenangkan hati guru2 kita. Pada aku, walaupun keberkatan tu tak nampak, tapi percayalah ianya akan dizahirkan dengan apa yang berlaku.

Perjalanan sebagai pelajar ijazah sarjana muda bukanlah mudah. Kena berdepan dengan pelbagai masalah berkait dengan emosi dan fizikal. Sejak dari tahun pertama pengajian, kelas kebanyakannya full dari pagi hingga ke petang. Tak seperti pelajar jurusan lain yang rata2 kelas mungkin hanya beberapa jam dalam seminggu.  Cuma semester yang ke-8 ni kelas dah berkurang sebab subjek berkurang. Masih lagi ingat semester ke-6 dan ke-7 yang mana subjek yang diambil ada dalam 8 atau 9. Dengan banyak hospital attachments, assignments, lab works dan reports untuk disiapkan di samping kuiz yang hampir setiap minggu, memang memenatkan. Tapi apabila memikirkan senior2  boleh laluinya dengan baik, kenapa kita tak boleh?


Hari ini, segala puji bagi Allah kerana akhirnya dapatlah menarik nafas lega apabila result dah pun keluar. Result takde la tinggi mana cuma gembira kerana dapat jugak graduate dengan Bachelor of Pharmacy (Hons.) with Second Class (Upper). InsyaAllah, majlis konvokesyen akan berlangsung pada bulan oktober ni. Hari yang bakal dinanti-nantikan. Akhirnya segulung ijazah akan digenggam! J Perancangan masa depan? Akan berkhidmat di sektor kerajaan. Mungkin nanti bila sampai waktu dah bosan bekerja, akan dipertimbangkan untuk sambung belajar balik. Harap2 dapat la buat master dalam clinical pharmacy kat UK dan berkhidmat sebagai pendidik di IPTA pulak ke, siapa tahu? Haha tak habis2 dengan angan2 nak melancong sekitar eropah. “Yang bulat takkan datang bergolek, yang pipih takkan datang melayang”. Ma’as salamah.





Membujur lalu melintang patah - tiada apa yang dapat menghalang / walau apa terjadi tujuan mesti dicapai.

Wednesday, March 6, 2013

Rx Quiz di Hatiku II

Malam tu kami hadir ke Gala Night yang bertempat di Cinta Sayang Golf & Country Club. Perghh memang grand la. Tempat makan yang open sampai boleh tengok orang main golf walaupun dah malam. Tapi yang lawaknya, kami team dari UIA ni dah la tak nak naik bas yang disediakan penganjur sebab nak bertolak lewat sikit, lepas tu sesat pulak nak cari tempat Gala Night tu sebab guna Maps Android yang tak betul. Haha. Lepas Tanya orang tempatan dan guna GPS iPhone Sr. Khadijah, baru la jumpa. Itupun sampai2 sana, program dah pun start. Makanan memang best sebab banyak pilihan. Ada char kuey tiow yang panas2 & ABC sebagai pembuka selera. Lepas tu pekena pulak spaghetti, ayam bbq, sup cendawan dan puding2 yang beraneka. Memang makan sampai terlebih kenyang. Terus tak selari dengan kempen pemakanan sihat yang dianjurkan malam tu. Haha. Alhamdulillah, aku berjaya memenangi salah satu cabutan bertuah malam tu. =) 

Hadiah cabutan bertuah


Bersama wakil MSU

Esoknya sewaktu sarapan, keputusan MCQ dan Preliminary Round diumumkan. Daripada 11 universiti yang bertanding, hanya Management & Science University (MSU), Taylor’s University dan Universitas Sumatera Utara (USU) yang tersingkir. Yang lain mara ke peringkat separuh akhir yang bermula pada pukul 9 pagi.  

Sarapan sambil menunggu keputusan
 
Pada peringkat separuh akhir, format soalan sedikit berbeza yang menyaksikan tiada lagi soalan One Best Answer sebaliknya digantikan dengan soalan berdasarkan gambarajah (diagram). IIUM mendapat undian untuk berada dalam kelompok A bersama2 UiTM, Monash dan CUCMS. Sebenarnya, lepas cabut undian tu aku terasa sangat lega sebab tak dimasukkan dalam kumpulan yang ada USM, AIMST, UKM dan IMU. Takut perang psikologi la katakan. Memang kami dapat rasakan soalan semi final lebih susah dari sebelumnya. Rata2 ramai peserta tak dapat nak skor soalan2 pharmaceutical technology sebab kebanyakan gambar yang ditunjukkan adalah lebih kepada alatan/mesin industri yang boleh jadi modelnya berbeza2.

 Bergambar bersama pasukan UiTM selepas separuh akhir

Walau bagaimanapun, kami bersyukur kepada tuhan kerana dalam semi final, markah kami adalah paling tinggi dalam kelompok A. Untuk ke peringkat akhir penilaian dilakukan dengan menambah markah MCQ & Preliminary Round dengan Semi Final Round. Alhamdulillah, daripada kedudukan ke-7 di peringkat saringan, kami berjaya mendaki ke tempat ke-2 di belakang AIMST University untuk menjadi 4 team terbaik (termasuk UiTM dan USM) ke peringkat akhir. Ingatkan dah boleh tarik nafas lega, rupanya debaran di peringkat akhir menanti. Sasaran kami tertinggi adalah untuk membawa pulang semula Piala Tariq. Tapi paling kurang kami berharap untuk memenangi 3 kedudukan terbaik dalam Rx Quiz kali ini.

4 pasukan yang layak ke peringkat akhir
 
Tepat jam 2.15 petang, majlis penutup dan perlawanan akhir pun bermula. Ingatkan ucapan dulu sebelum lawan, rupa2nya terus lawan. Bila masuk je dalam Great Hall AIMST tu, memang wow!! Besar giler… Jantung pun berdegup semakin kencang. Yang menarik perhatian aku adalah kehebatan closing ceremony team sediakan monitor untuk setiap pasukan. Kalau kat UIA dulu tak mampu la nak buat macam tu. Soalan semuanya hitam putih pada setiap juri. Rx Quiz kali ni mementingkan teknologi yang membolehkan peserta melihat soalan pada skrin. Format peringkat akhir ni berbeza sedikit. Pusingan pertama, setiap seorang daripada peserta kena memilih sama ada ingin menjawab soalan Physiology, Chemistry, Pharmacology atau Pharmaceutical Technology. Lepas berbincang, aku pilih physiology. Pusingan kedua, semua orang wajib menjawab soalan Clinical Pharmacy & Pharmacy Practice. Memang soalannya rata2 case study. Kehebatan USM dalam Clinical Pharmacy tak dapat disangkal lagi. Keempat2 peserta dapat skor markah penuh (5 markah) untuk pusingan tu. Pusingan terakhir pula, seorang wakil dari setiap kumpulan akan mencabut undi nama juri untuk menjawab soalan berdasarkan bidang pengkhususan juri tersebut. Kami bersyukur kerana apabila mencabut undi, nama Sr. Khadijah yang keluar. Nak kata berat sebelah dan tidak adil tak tak boleh jugak sebab system tu AIMST yang buat dan Sr. Khadijah tak bagi hint langsung soalan apa yang dia nak tanya untuk pusingan tu. Disebabkan soalan yang ditanya adalah apa yang kami belajar dalam Dosage Design II sem lepas, aku yang tak revise pun boleh jawab (tapi dalam hati la). Soalannya: “State the methods used to measure aerodynamic diameter of particles and give its disadvantages.” Syukur, Nuraidah dapat menjawab penuh dan betul. So, we were awarded with 5 marks!

Berikut adalah keputusan penuh 4th National Pharmacy Quiz 2012/2013:

Johan                    : Universiti Sains Malaysia (USM)
Naib Johan           : Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM)
Ketiga                   : Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Peserta terbaik     : Siti Nuraidah binti Mamat (IIUM)

Alhamdulillah, walaupun IIUM tidak dinobatkan sebagai juara dan gagal bawa pulang semula Piala Tariq, kami tetap bersyukur kerana berjaya membuktikan bahawa Muslim juga mampu bersaing dengan orang bukan Islam dan menidakkan andaian bahawa kejuaraan IIUM sebelum ini disebabkan soalan bocor dan belas ehsan juri yang terdiri daripada pensyarah IIUM sendiri. Thank you Allah, terima kasih warga Kulliyyah of Pharmacy yang sentiasa mendoakan kejayaan kami dan terima kasih Sr. Khadijah dan Dr. Amira yang sudi menemani kami ke sana dan menerima segala ragam perangai kami. =)

Bergambar bersama Presiden MyPSA (kawan sekolah abang aku tu)
 



Bergambar bersama committee in charge untuk IIUM



Bersama kembalikan kegemilangan Islam!
Ma’as salamah. 

Tuesday, March 5, 2013

Rx Quiz di Hatiku I


Awalnya aku asyik terfikir2 dan tertanya2 kenapa lecturer pilih aku untuk wakil IIUM dalam pertandingan Rx Quiz kali ni. Sedangkan result aku biasa2 je dan ramai lagi sis atau classmate perempuan yang result lagi tinggi. Akhirnya sempat aku tanya Amiirah Rosli, HC PR IPhA pasal ni. Dia jawab, ada sebab kenapa Madam Halimah pilih aku. Katanya dalam kalangan classmate lelaki, result aku paling tinggi dan katanya lagi cara lelaki berfikir lain berbanding perempuan. Tapi aku rasa aku ni jenis lambat pick up. Tu yang lemah tu. Huhu.



Bermula pada tahun 2009 (1st Rx Quiz), aku dipilih sebagai pengacara majlis untuk majlis penutup. Sempat la aku tengok grand finale antara team IIUM (A) dan IIUM (B). Memang bro izzuddin jaafar & solahudin hebat la. Yang paling penting, kak Nali dan bro Azwadi banyak beri tunjuk ajar dalam mengacarakan majlis besar. Tahun berikutnya, aku selaku committee opening & closing ceremony bawah kelolaan Rostam selaku HC. Memang aku nak unit ni sebab aku boleh melatih emcee baru (mad, amiirah, & alqarni) dan tengok perlawanan akhir kuiz farmasi. Pada tahun 2011, aku sekali lagi memegang jawatan yang sama. Tapi kali ni ketua aku Aidil. So boleh Nampak perbezaan kepimpinan. Hehe. Tapi nak diceritakan, setiap kali soalan ditanya oleh juri kepada peserta, aku cuba sedaya upaya dengar baik2 dan jawab dalam hati kalau tahu. Yang masih membuatkan aku kecewa sampai sekarang adalah tak dapat peluang membawa persembahan kebudayaan UIA Gombak (sama ada zapin, gamelan, caklempong atau angklung) ke Kulliyyah of Pharmacy untuk persembahan penutup Rx Quiz. Tahun ni, tuan rumah bertukar tangan dan AIMST diberi mandat untuk menganjurkannya. Umpama jiwa yang tak dapat berpisah dari jasad selagi belum sampai ajal, Rx Quiz ni aku anggap seperti jiwa yang hanya akan terpisah apabila tuan badan meninggalkan program Bachelor of Pharmacy ni.

Kami bertolak ke AIMST University pada pagi jumaat (1 Mac 2013). Perjalanan 8-9 jam dari Kuantan ke Sungai Petani dirasakan terlalu lama. Namun sebelum berangkat, kami menatap semua coretan kata2 hikmat dari warga Rx8 yang menjadi pembakar semangat kami berlima. Setiap pesanan yang ditulis, kami baca satu persatu. Ada yang menggelikan hati dan ada juga yang membuat kami tersentuh dengan keprihatinan dan doa yang diberikan. Sampai2 sahaja di sana, kami daftar dan terus check-in tempat penginapan (asrama apartment). Yang bestnya, goody bag dia ada macam2 barang. Itulah antara benda yang paling aku excited bila menghadiri sesuatu program. Haha.


Esoknya, kami bersiap awal pagi untuk breakfast, campus tour dan opening ceremony. Memang aku bersetuju dengan Prof Dr. Baidi, Deputy Vice Chancellor AIMST University yang sempat mengajar subjek clinical nutrition kami sem lepas. Katanya bangunan kampus AIMST setaraf yang luar negara. Memang besar yang amat. Bajet kewangan tinggi sangat kot. Chancellor dia Dato’ Seri S. Samy Vellu. Opppsss aku pergi AIMST sebab aku datang dari Sungai Siput ke? Ada kaitan? Haha. Pukul 11 pagi, kami start dengan exam MCQ (12 soalan, True False, minus marking). Soalan yang awal2 tu aku yakin la nak jawab. Masuk soalan2 pharmaceutical technology & clinical pharmacy, arghhh xtau nak jawab apa. SDS-PAGE for sizing protein?? So, teknik cuba jawab mana yang yakin sikit dan tinggalkan yang tak yakin langsung diaplikasikan. Hahaha.


Petang tu dalam pukul 2, kami sambung dengan preliminary round. IIUM ditempatkan bersama2 USM, Taylor’s College, IMU dan MSU dalam bilik B. Soalan yang ditanya berkonsepkan one best answer (OBA)/MCQ dan short open answer. Soalan yang ditanyakan ada yang susah dan ada yang senang. USM bagi kami terlalu hebat bila menjawab MCQ/OBA. Walaupun soalan susah, diorang still dapat jawab betul untuk cubaan pertama (5 markah). Cubaan kedua oleh peserta yang lain dalam kumpulan yang sama dapat 3 markah kalau betul. Tapi bila diteliti dan dibandingkan dengan mutu penghakiman antara AIMST dan IIUM selaku tuan rumah, rasa seperti kali ni punya dipertikaikan. Sebabnya, kali ni moderator yang memegang skema jawapan yang menentukan jawapan betul atau salah. Tiada peluang untuk perbaiki jawapan seperti di IIUM dahulu. Juri hanya menjadi pemerhati dan mula berbincang sekiranya terdapat keraguan. Ada je jawapan yang memerlukan expalanation yang hampir2 betul. Tapi disebabkan moderator rasakan jawapan peserta tak sebijik macam skema jawapan, maka terus disalahkan. Untuk preliminary round, markah kami di belakang USM dan IMU. Dan untuk mara ke separuh akhir, markah saringan adalah 20% MCQ dan 80% preliminary round. 

 
 bersambung...

Monday, July 30, 2012

Kembara di Bumi Taiwan (Part 6)


Hari terakhir simposium diteruskan dengan sambungan Simposium 2 dan 3 pada sebelah pagi yang disampaikan oleh 4 orang penceramah jemputan, masih lagi bertempat di Taipei Medical University (TMU). Mereka adalah Assoc. Prof. Dr. Mohamed Azmi Hassali dari USM, Sui Yung Chan dari National University Singapore, Angela On dan Yea-Huei Kao Yang dari Taiwan. Pada sebelah petangnya pula, program diteruskan dengan pertandingan akhir Patient Counseling Event (PCE) dan Pharmacy Contest. Lebih kurang pukul 4.15 petang, kami dibenarkan pulang ke hotel untuk bersiap untuk Gala Night pada malam itu. Aku sempat mengambil peluang merakamkan gambar sekitar bangunan universiti ketika pertandingan berlangsung petang tersebut.



Bergambar di hadapan Taipei Medical University

Tepat jam 6 petang, kami bertolak menaiki bas ke NTUH International Convention Centre untuk majlis Gala Night. Dewan yang agak grand tersebut disusun atur dengan kemas dengan menempatkan meja banquet yang kecil di tengah sambil dikelilingi meja buffet. Untuk makanan halal malam itu, caterer yang diberi kepercayaan untuk menyediakan makan malam kami adalah Aaleja Restaurant yang menyediakan masakan Pakistan. Memang sedap la. Kami juga disediakan dengan hidangan sushi dll. Walaupun makanan halal yang dihidangkan tak sebanyak makanan yang tak halal, tapi secara keseluruhannya aku memang berpuas hati. Tapi kadang2 geram jugak tengok orang bukan Islam menjamah pelbagai jenis kek. Tapi disebabkan kehalalannya diragui, terpaksa la lupakan niat untuk merasa.


Bersama salah seorang peserta dari Indonesia

Bergambar bersama Takayuki

Masakan pakistan yang disajikan memang menyelerakan

Pelbagai acara diadakan sepanjang Gala Night tersebut. Antaranya adalah cabutan bertuah, majlis penyampaian hadiah untuk para pemenang semua pertandingan dan Prince & Princess of the Night. Terdapat 7 orang peserta yang memasuki pertandingan Prince & Princess of the Night kesemuanya. Si Nasrin pun salah seorangnya. Setiap peserta dikehendaki membuat persembahan selama 5-10 minit. Antara ramai2 tu, aku paling tertarik dengan peserta lelaki dari Indonesia ni yang menyanyikan secara live lagu 'If I Ain't Got You' dendangan Alicia Keys. Tengok dari rupa biasa2 je. Sekali bila nyanyi lagu Alicia Keys, pergh macam tak percaya lelaki boleh nyanyi lagu artis wanita. Dan memang seperti yang dijangka, dia dinobatkan sebagai Prince of the Night. Princess of the Night pula dirangkul oleh Devi K Suhardi, peserta Indonesia yang kini belajar di Monash University Sunway, Subang Jaya.


Para peserta Prince & Princess of the Night

Antara kenangan yang takkan aku lupakan adalah berjaya menang cabutan bertuah tempat ke-5. Walaupun hadiahnya hanya set glucometer beserta sekotak test strips, namun kalau nak beli, memang harga dia lebih RM100. Hadiah tempat ke-4 adalah berupa iPhone charger, tempat ke-3 dengan iPod Touch, tempat ke-2 dengan kamera digital dan tempat pertama dengan sebuah iPad2. Pemenang tempat pertama yang begitu bertuah tu jatuh kepada peserta wanita dari Indonesia yang kelihatan tergamam seakan tak percaya boleh menang hadiah semahal itu. Malam itu juga, kami dipersembahkan dengan persembahan orkestra daripada universiti tuan rumah dan pertunjukan ahli silap mata. Dari mulanya majlis sehinggalah berakhirnya program pada malam itu, semua orang tidak melepaskan peluang untuk mengambil gambar sebagai kenangan. Gala Night tersebut diakhiri dengan tarian beramai2 di atas pentas berlatarbelakangkan lagu Taiwan, 'You are A Flower of Me'. Dan aku hanya memerhati dari jauh sahaja. Malam itu selepas pulang ke hotel, aku mula packing barang2 untuk pulang keesokannya.

Pemenang cabutan bertuah tempat ke-5! 


Bersama Go

Bersama Tang Han Cheng!

Para peserta bergambar kenang-kenangan di penghujung majlis

Pada hari Isnin (9 Julai 2012), aku dan rakan2 UIA yang lain bertolak ke Taipei Main Station seawal jam 8.30 pagi dengan menaiki bas yang disediakan oleh pihak penganjur. Kami meninggalkan segala beg dan barang2 kami di tempat menyimpan barang di stesen tersebut untuk memulakan pengembaraan ke sekitar bandar Taipei untuk hari terakhir kami di Taiwan. Tempat pertama yang kami pergi adalah restoran halal Ai Jia Qingzhen di Zhongxiao Dunhua bagi merasai keenakan Beef Noodle yang sering digembar-gemburkan sebelum kami tiba di Taiwan. Rupa-rupanya restoran tu pernah didatangi oleh Farah AF bersama2 krew Rasa Halal Orient Astro Oasis untuk shooting. Tapi bagi aku beef noodle dia rasa biasa2 je. Mungkin sebab aku banyak bersembang ketika makan waktu tu, makanan tu jadi kurang sedap bila sejuk. Akhirnya aku tak makan mee dia kerana dah rasa full dan muak. Untuk pengetahuan, mee di kedai itu dibuat sendiri dan bentuknya seakan2 kuetiaw.


Signboard Restoran Ai Jia

Ketika menikmati beef noodle

Plak dari krew penerbitan Rasa Halal Orient Astro Oasis

Selepas tu, dari stesen MRT Zhonxiao Dunhua, kami bertolak ke stesen Ximen untuk merasai suasana membeli-belah di Ximending. Setelah aku menjejakkan kaki ke sana, boleh aku katakan suasananya adalah seperti di Bukit Bintang. Tapi aku hanya jalan2 je la. Nak beli, mahal betul harganya. Akhirnya, windows shopping je la aku waktu tu. Di situ, aku, Elina, Timi & Nasrin terpisah daripada Atiqah, Fatt dan Sarah. Lepas tu memang trip kami terpisah kepada 2 kumpulan. Kumpulan Atiqah mengambil keputusan untuk melawat Danshui District dengan menaiki MRT Tamsui Line. Tempat tersebut terletak di stesen terakhir MRT tersebut iaitu 40 minit dari Main Station. Kumpulan kami pula mengambil keputusan untuk melawat Lin Family Garden yang terletak di Fuzhong. Kami hanya perlu menaiki MRT Bannan Line yang mengambil masa lebih kurang 10-15 minit dari Main Station.




Di Ximending

Di Fuzhong

Di pintu masuk Lin Family Garden

Sejak di Malaysia lagi aku memang teringin nak ke Family Garden ni. Tempatnya indah dengan taman dan kolam mengelilingi rumah yang masih mengekalkan seni bina masyarakat Cina yang lama menjadikan tempat tersebut sesuai untuk para pelawat mengambil gambar. Sebenarnya kawasan ni merupakan tempat kediaman keluarga Lin, atau nama penuhnya keluarga Lin Ben Yuan yang dibina pada tahun 1847. Pada hari tersebut, memandangkan kami tiba agak lewat iaitu pada pukul 4 petang dan kawasan tersebut akan ditutup pada pukul 5 petang, jadi kami tak dapat explore keseluruhan tempat tersebut. Tambahan pula, aku dan yang lain mengambil kesempatan menunaikan solat jama' di perkarangan kawasan tersebut. Kedatangan kami ke tempat tersebut agak bertuah kerana bayaran adalah percuma pada hari itu. Sebenarnya, sebelum kami tiba ke tempat tersebut, dalam perjalanan berjalan kaki dari stesen Fuzhong ke Family Garden, kami sempat singgah di kedai2 di tapak night market yang terdapat di situ. Aku dan yang lain sempat la membeli cenderahati seperti tas tangan, cincin bertatahkan batu jed (murah je) dan perhiasan tanah liat. Sesi membeli-belah menjadi lebih menarik kerana makcik2 yang menjual begitu open untuk kami tawar-menawar. Syukur aku sempat belajar sedikit bahasa mandarin dengan staf2 kedai farmasi tempat praktikal aku hari tu. Jadi dapat la aku sedikit sebanyak berkomunikasi ketika membeli walaupun penjual tak pandai berbahasa Inggeris.








Membeli-belah di pekan Fuzhong

Lebih kurang jam 6.30 petang, kami bertolak dari Main Station ke Taoyuan International Airport dengan menaiki bas. Kumpulan Atiqah tiba lewat sedikit disebabkan terlalu jauh berjalan di Danshui. Dengarnya ramai lagi peserta APPS yang lain ke Danshui. Danshui atau Tamsui District terletak di New Taipei City jauh ke utara Taiwan. Di situ terdapat beberapa tempat menarik seperti Tamsui Old Street, Fisherman's Wharf dan Fort San Domingo. Pendek kata, kawasan tersebut berhampiran dengan pantai dan kawasan perkampungan nelayan. Tapi aku tak menyesal kerana hari tu kaki aku dah melecet teruk dan agak lenguh untuk berjalan. Pukul 8.30 malam, kami check-in luggage dan melalui pemeriksaan imigresen sebelum menaiki pesawat AirAsia X pulang ke Kuala Lumpur pada pukul 11.35 malam. Kerana terlalu penat, aku tidur je sepanjang perjalanan. Elina yang duduk di sebelah pun komen aku tidur lena sangat sampai tak perasan penumpang lain yang makan dan sebagainya. Lebih kurang jam 4 pagi, kami selamat tiba di LCCT Sepang dan kakak hadir untuk menjemput. Sesungguhnya ini adalah salah satu kenangan termanis yang pernah aku lalui! :)

Cenderahati daripada Go!

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...