Thursday, October 3, 2013

Indahnya Budaya Jual Beli Pantun

Terbang ketitir hingga ke tanjung,
Hinggap di cemara tampak bertunas;
Warisan berpantun sentiasa dijunjung,
Tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas.


Assalamualaikum warahmatullah wabarakatuh.

Indah berbalam si awan petang,
Berarak di celah pepohon ara;
Pemanis kalam selamat datang,
Awal bismillah pembuka bicara.

Dalam entri kali ini, penulis berminat untuk berkongsi himpunan pantun-pantun yang telah dicipta sewaktu menyertai pertandingan Pesta Pantun pada tahun 2006. Bersama-sama 3 lagi ahli pasukan Sekolah Izzuddin Shah, Ipoh iaitu Saiful Aqmal, Abdul Annas dan Asyraf Othman, kami berlatih berminggu-minggu untuk mendapatkan ilham dalam mencipta pantun-pantun yang indah berdasarkan tema yang telah diberikan untuk dijual kepada pihak lawan. 

Sebenarnya, penulis terfikir untuk berkongsi dalam entri kali ini kerana kebetulan terjumpa kertas-kertas yang mengandungi pantun-pantun kami sewaktu berjual beli pantun bermula dari peringkat saringan sehinggalah ke peringkat akhir. Tetapi sebelum itu, penulis sendiri tertarik dengan satu episod rancangan Tunggu Sekejap yang dihoskan oleh Awie yang memaparkan keindahan jual beli pantun ketika majlis merisik dan meminang di TV3 baru-baru ini. Melalui pantun-pantun dalam entri kali ini, pasukan kami berjaya meraih naib johan peringkat daerah seterusnya diberi peluang mewakili daerah Kinta I untuk ke peringkat negeri. Di peringkat negeri, kami tewas pada peringkat suku akhir di tangan Sekolah Menengah Alang Iskandar (Johan Pesta Pantun 2005 & 2006 dan peserta separuh akhir Pesta Pantun Piala Sirih Pulang ke Gagang peringkat kebangsaan 2006 bertempat di Labuan).

Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada mereka yang membuat persediaan dalam menghadapi pertandingan pesta pantun seterusnya memartabatkan seni warisan pantun Melayu. 


Tema: Budaya Saing

Tersemat cempaka memagar rendangan,
Merbah meruntun jambangan kurnia;
Semangat membara mengejar saingan,
Mampukah bangun di persada dunia?

Tema: Industri Pertanian

Di tepi pinang subur cemara,
Bunga berserak tampak cemerlang;
Industri dicanang misi negara,
Mengapa bajak masih dijulang?

Tema: Mesra Alam

Senja berbalam angin nan megah,
Pawana menongkah di ambang malam;
Bencana alam datang menggugah,
Mengapa terpunah mahkota alam?

Tema: Masyarakat Prihatin

Puspa sari tepian sendayan,
Cahaya bersilih dipuput pawana;
Harta dicari berkoyan-koyan,
Mengapa tersisih miskin kedana?

Tema: Pendidikan Cemerlang

Indah pawana menghembus siantan,
Bertamu di anjung si burung kenari;
Sahsiah wibawa tonggak kekuatan,
Berilmu lintabung gemilangkah diri?

Tema: Bahasa Jiwa Bangsa

Merah kenanga tepian desa,
Pauh berbunga di ambang sinaran;
Khazanah bahasa mendaulatkan bangsa,
Sejauh mana bertunjang ajaran?

Tema:  Semangat kejiranan

Pohonan selasih menyirna siantan,
Melayang puspa patah berkurang;
Jalinan kasih pembina kekuatan,
Dibayang apa berpatah arang?

Tema: Kebudayaan Nasional

Haluan pawana menghembus daunan,
Meredah paya di pinggir kejora;
Kemajuan bangsa arus pembangunan,
Sirnakah budaya dihempas gelora?

Tema: Teknologi dan Inovasi

Tampak serasi kandis berkelipan,
Bertingkah duri pohonan pedada;
Rentak inovasi merintis hidupan,
Mapankah diri menongkah intifada?

Tema: Kebersihan Mental

Gemalai lemuni bercerap pawana,
Indah saujana mata terpikat;
Nilai madani digarap sempurna,
Sejauh mana terjana hakikat?

Tema: Wawasan Negara

Hiasan cemerlang bersirat cemara,
Puspa pedada diseri kenari;
Wawasan dijulang martabat negara,
Mengapa ternoda di bumi sendiri?

Tema: Muafakat Membawa Berkat

Lembah nan permai di tanjung memikat,
Subur cendana di baruh meranti;
Muhibbah disemai bertambah muafakat,
Dilentur apa dek keruh hati?



Pantun jual beli yang ni pun menarik untuk dikongsi. Ehsan Koleksi Pantun Melayu oleh Panitia BM SMK Cheras Jaya.

PERTANDINGAN BERBALAS PANTUN RANCANGAN PANJANG AKAL TV3
Selangor menjual :
Dihujung selat bertiup bayu,
Teratai di kolam tampak serinya;
Dikandung adat budaya Melayu,
Dicemar susila mana manisnya?
Melaka membeli :
Sinis surya di persada meriah,
Tatkala camar memainkan rebab;
Manis budaya pada maruah,
Susila yang cemar dipulihkan adap.
Melaka menjual :
Rejang menuding belukar nan kelam,
Pelepah bidara bergalang malap;
Bijak berunding luar dan dalam,
Indah bicara di mana silap?
Selangor membeli :
Buah bidara di dalam kaca,
Serai seikat di pangkal bertemu;
Salah bicara bukanlah punca,
Hanya muafakat belum ditemu.


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...