Friday, April 2, 2010

Denggi oh Denggi

Bulan April 2010 ini dibuka dengan berita sedih. Rakyat Malaysia begitu terasa dengan kehilangan pelawak yang semakin melonjakkan namanya kebelakangan ini, Allahyarham Din Beramboi atau nama sebenarnya Mior Ahmad Fuad Mior Badri yang menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 2 April 2010 jam 12.35 pagi. Kematian beliau disahkan berpunca dari penyakit Dengue Shock Syndrome (DSS). Selain itu, warga Rx Kulliyyah Farmasi IIUM juga dikejutkan dengan pemergian salah seorang senior kami (2nd batch) iaitu Allahyarhamah Zarina Abdul Ghafir yang telah kembali ke rahmatullah kerana menghidap denggi berdarah. Semoga roh mereka ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman. Amin.

Beberapa minggu yang lepas juga, salah seorang ahli bilik saya menghidap demam yang mempunyai simptom-simptom wabak denggi. Walau bagaimanapun, Alhamdulillah beliau didapati bebas dari penyakit itu. Namun, disebabkan beberapa kes telah dilaporkan di kawasan perumahan kami, pihak Jabatan Kesihatan Pahang meningkatkan pemeriksaan kawasan kediaman (begitu kerap kebelakangan ini) dan menjalankan aktiviti penyemburan bagi menghalang pembiakan nyamuk Aedes. Terlalu banyak cerita mengenai bahaya denggi ini sebenarnya.

Ramai yang juga telah membuka mata dan memandang serius mengenai perkara ini. Namun, apakah fakta sebenar di sebalik penyakit yang boleh membawa kematian ini? Semester kali ini telah memberikan pendedahan kepada saya tentang penyakit denggi dan virus penyebabnya dalam subjek Microbiology. Berikut adalah maklumat yang saya peroleh berkenaan penyakit ini dan virus penyebabnya:

Flavivirus

Demam denggi adalah disebabkan oleh virus denggi iaitu genus flavivirus (famili flaviviridae) yang dibawa oleh nyamuk Aedes betina. Terdapat dua demam denggi yang begitu serius iaitu Demam Hemoragik Denggi (DHF) dan Sindrom Kejutan Denggi (DSS). Virus ini berada dalam badan pesakit selama 3 hingga 14 hari. Terdapat beberapa petanda dan gejala yang disebabkan oleh penyakit ini. Antaranya ialah demam mengejut, sakit kepala yang teruk, sakit di belakang bebola mata, sakit sendi dan sakit belakang pinggang. Antara lainnya adalah kemunculan bintik-bintik merah pada badan, muntah, sakit perut dan cirit-birit.

Tiada rawatan khusus melainkan terdapat terapi sokongan untuk penyakit ini. Pesakit dikehendaki minum lebih banyak air. Sekiranya pesakit tidak mampu/mahu minum air, air akan dimasukkan ke dalam badan pesakit melalui cecair intravena. Hal ini penting kerana tubuh badan pesakit akan mengalami dehydration atau kekurangan air. Bagi diagnosis penyakit, ujian serologi dan PCR digunakan bagi mengesahkan penyakit denggi. Tiada vaksin untuk pencegahan penyakit ini. Sebaliknya, langkah pencegahan dilakukan dengan mengurangkan vektor nyamuk pembawa virus denggi. Ia boleh dilakukan dengan menghapuskan takungan air.

*Diolah dari laman web wikipedia

Tuesday, March 9, 2010

Ceritera Hidup

Hari ini aku menggagahkan diri untuk membuat sedikit perubahan. Bahasa Melayu akan kujadikan bahasa yang utama dalam penulisan blog ini. Bukan kerana tidak suka pada bahasa Inggeris walaupun aku tidak dapat menguasainya dengan baik, tapi mungkin kerana apa yang ingin ditulis tidak sampai secara keseluruhannya. Atau dengan kata lain ia menjadi kekangan kepada aku untuk menyampaikan sesuatu.

Rutin hidupku sebagai pelajar semester kedua tahun pertama di UIA ini masih aku teruskan dengan baik. Biarpun pelbagai dugaan yang menimpa, aku tahu aku sepatutnya berasa lebih bersyukur terhadap apa yang dimiliki. Sokongan rakan-rakan amat mengharukan aku. Mereka seolah-olah dapat membaca apa yang hadir di benak fikiranku. Ukhuwwah yang terbina akan lebih bermakna kiranya kita sama-sama dapat menyemai rasa belas dan tanggungjawab terhadap diri dan insan di sekeliling.

Minggu lepas, keputusan peperiksaan midsem diumumkan. Namun, bukanlah bermakna keputusan terpampang di papan kenyataan sebaliknya setiap pelajar perlu berjumpa mentor masing-masing bagi mengetahui result mereka. Mungkin ini akan memberikan lebih keselesaan bagi setiap pelajar agar keputusan mereka tidak diketahui pelajar lain. Dan seperti sudah dijangka, keputusan aku menunjukkan kemerosotan yang agak membimbangkan. Aku tahu semester ini aku lebih banyak menghabiskan masa dengan perkara luar dan bukannya dengan mengulangkaji. Sedangkan mata pelajaran semester ini lebih susah dan mencabar. Tapi tak mengapa, peluang masih lagi ada untuk meningkatkan prestasi sem ni kerana peperiksaan final lebih kurang dua minggu dari sekarang. Aku mencari partner untuk membentuk study group walaupun hanya seorang dan Alhamdulillah dah pun jumpa.

Bercakap mengenai kewangan, aku memang merasai sedikit sebanyak kesempitan wang pada waktu ini walaupun wang JPA masih lagi ada. Apa tidaknya, untuk tempoh sehingga Julai ini, aku perlu membayar duit sewa rumah untuk 3 bulan, bil air dan elektrik untuk 6 bulan dan yuran bulanan Streamyx untuk 6 bulan walaupun rumah yang disewa ini dihuni oleh 10 orang. Bebanan kewangan agak terasa. Lebih terkilan dengan sikap rakan yang sentiasa mengungkit keselesaannya menghuni mahallah atau asrama yang perbelanjaannya tidaklah banyak mana. Namun aku tabahkan hati dan memujuk diri bahawa kesusahan mengajar kita erti lebih bersyukur dengan pemberian tuhan.

Berjumpa lagi di entri yang akan datang InsyaAllah..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...