Friday, July 30, 2010

Bosnia-Herzegovina: Rentetan Kekejaman Serbia (1992-1995)

Peristiwa berdarah yang telah berlaku tidak lama dahulu telah terpahat dalam diri setiap penduduk Islam di Bosnia-Herzegovina. Penyembelihan ‘genocide’ berlaku ke atas umat Islam Bosnia antara April 1992 sehingga November 1995 juga. Peristiwa yang dikenali umum sebagai pembersihan etnik ini memperlihatkan konflik bersenjata di antara puak Serbia Bosnia dengan puak Muslim Bosnia dan Croatia Bosnia. Keadaan ini berlaku selepas proses pemisahan Republik Bosnia Herzegovina dari Yugoslavia.


Perang ini berlaku berikutan situasi politik yang tegang antara pemimpin ketiga-tiga etnik tersebut. Namun begitu, ketegangan antara puak Serbia Bosnia dengan puak Muslim Bosnia sampai ke kemuncak apabila berlakunya suatu tragedi. Pada 30 Mac 1992, berlaku satu pembunuhan terhadap seorang etnik Serbia yang sedang menikahkan anak lelakinya di kota Sarajevo. Setelah upacara perkahwinan selesai, ketika iringan pengantin menuju ke tempat letak kereta di hadapan gereja di mana upacara tersebut dilangsungkan, satu das tembakan dilepaskan ke arah bapa pengantin lelaki. Bapa pengantin tersebut mati sementara paderi yang mengahwinkan pasangan pengantin tersebut tercedera. Dalam kejadian tersebut juga, bendera yang dibawa oleh rombongan pengantin dirampas dan dikoyak-koyak oleh si penyerang yang akhirnya berjaya melarikan diri. Pada hari berikutnya, penyerang tersebut berjaya ditangkap dan dikenal pasti berasal dari etnik Muslim Bosnia.

Dalam pada itu, masyarakat eropah dan Amerika telah pun mengakui kemerdekaan Bosnia-Herzegovina sebagai negara berdaulat tidak lama sebelum pertempuran itu berlaku setelah sebuah referendum diadakan pada 1 Mac 1992. Namun begitu, pertempuran ini berlanjutan sehingga ke perebutan terhadap tempat strategik yang diberi nama Foca (kota di wilayah selatan Sarajevo).


Cuba kita selami keadaan yang berlaku pada waktu pembersihan etnik tersebut:

“..berdasarkan kepada keterangan Sulejman Besic yang berusia 46 tahun, seorang Chetnik yang dipanggil Dusan Tadic telah pergi menemui seorang wanita Islam dan menjerit kepadanya untuk memberitahu di mana suaminya berada. Dia kemudian mengarahkan wanita tersebut supaya menanggalkan pakaiannya, dan mengancam akan membunuhnya jika dia enggan berbuat demikian. Dalam menangis, dia mula membuka pakaiannya di hadapan mata pistol. Namun demikian tidak kurang seminit selepas iu, Tadic menembaknya di kepala. Kemudian dia membawa anak lelaki wanita tersebut yang mana selama adegan ngeri ini berlaku, dia terbaring tidak berapa jauh dalam keadaan tangannya diikat. Anak lelaki itu kemudian disuruh merogol ibunya yang sudah mati. Di kemudian menangis dengan sekuat-kuatnya, dan akhirnya dengan segera ditembak mati oleh Dusan Tadic.” –dipetik daripada Harun Yahya.



Sesungguhnya kekejaman puak Serbia tidak mengenal erti perikemanusiaan. Kesan daripada peperangan tersebut memperlihatkan seramai antara 200,000 hingga 400,000 umat Islam telah mati dan dianggarkan seramai 20,000 ke 50,000 wanita Islam telah dirogol oleh tentera Serbia Bosnia dalam kempen psikologi yang terancang. Kira-kira 2 juta Muslim Bosnia dihalau dari rumah mereka dan mereka yang dihantar ke kem-kem tahanan Serb dikenakan penderaan dan berpulu-puluh ribu dari mereka telah lumpuh.

No comments:

Post a Comment

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...