Wednesday, February 25, 2009

SENI WARISAN PANTUN MELAYU

Sirih berlipat sirih pinang,
Sirih dari Pulau Mutiara;
Pemanis kata selamat datang,
Awal bismilah pembuka kata.

Diilhamkan dari rencana ‘Ghairah dalam Empat Baris: Pantun Sebagai Bentuk Bersama’ karangan Muhammad Hj. Salleh, USM, saya mendahulukan tinta permata ini dengan salam sejahtera dan muhibbah untuk sama-sama berkongsi keindahan seni pantun Melayu yang tiada tandingan. Rangkap-rangkap pantun Melayu asli terkenal dan kaya dengan keindahannya dalam menyimpan banyak maksud tersirat yang tidak dapat ditafsirkan secara literal. Namun begitu, adat berpantun masih mampu dikekalkan sehingga ke hari ini. Sekiranya kita mengikuti pelbagai majlis-majlis termasuklah upacara merisik, upacara akad nikah, resepsi, majlis makan malam, majlis perpisahan dan sebagainya, kita akan mendapati bahawa pantun-pantun Melayu seringkali kedengaran.

Tingkap papan kayu bersegi,
Sampan sakat di Pulau Angsa;
Indah tampan kerana budi,
Tinggi bangsa kerana bahasa.

Pengalaman yang lepas akan saya jadikan landasan untuk mengajak anda menghayati dan meneliti keindahan seni warisan ini. Alangkah indahnya andai dapat dipersembahkan pantun pada masa-masa yang begitu bermakna. Sebagai bekas pemantun yang mewakili Sekolah Izzuddin Shah pada tahun 2005 dan 2006, saya sendiri teruja mencipta dan mempersembahkan pantun-pantun yang begitu mendalam maksudnya. Konsep pertandingan yang diadakan adalah lebih menjurus kepada pengekalan unsur-unsur keaslian seni berpantun yang begitu puitis didengari.

Mengarang pantun sememangnya bukanlah sesuatu yang mudah kerana saya sendiri memerlukan pengetahuan yang mendalam mengenai maksud untai kata dan perkataan yang membawa kepada sesuatu maksud apatah lagi perlu menyusunnya mengikut ritma yang berpadanan. Cabaran ketika pertandingan juga ditambah dengan bakat mencipta pantun kurang dari 60 saat. Namun begitu, berbekalkan semangat dan usaha dan tinggi, cabaran yang digalas dapat dilaksanakan dengan baik sekali. Pesta Pantun peringkat daerah Kinta 2 tahun 2005 dan 2006 serta peringkat negeri Perak tahun 2006 sememangnya menyimpan banyak kenangan manis yang tidak dapat dilupakan. Saya bersama-sama tiga rakan seperjuangan, Abdul Annas bin Shriff, Mohd Asyraf bin Othman dan Saiful Aqmal bin Saiful Azhar telah menggembleng tenaga memastikan perjuangan kami lebih bermakna. Akhirnya, usaha kami terbalas dengan menggondol gelaran naib johan pesta pantun peringkat zon PKG Seri Ampang dan daerah Kinta serta mara ke peringkat suku akhir peringkat negeri Perak bertempat di daerah Kerian. Kekalahan kami di peringkat negeri dikira bermaruah kerana tumpas di tangan peserta separuh akhir Pesta Pantun Piala Sirih Pulang ke Gagang peringkat kebangsaan pada tahun yang sama. Perjuangan ini lebih bermakna kepada saya sendiri apabila berjaya merangkul gelaran Pemantun Terbaik peringkat daerah Kinta tahun 2006.

Sampan kolek di hujung tanjung,
Disusun muatan diatur bersilang;
Adat dikelek budi dijunjung,
Mampukah watan terus menjulang?

Rangkap pantun ini merupakan salah satu rangkap-rangkap pantun yang pernah saya karang dan jual kepada pihak lawan ketika bertanding. Di sinilah ruang di mana kita dapat menunjukkan bakat kita mengarang untai kata yang indah demi memartabatkan bangsa. Teknik penyusunan perkatan juga perlu dipelajari sebaik mungkin agar rangkap-rangkap pantun yang terhasil lebih indah dan terpancar kekayaan bahasa yang begitu berharga. Sebagai contoh, pantun yang baik mempunyai ritma hujung ‘abab’ dan bukannya ‘aaaa’. ‘aaaa’ hanya sesuai dalam mencipta syair yang puitis. Namun begitu tidak menjadi kesalahan untuk mencipta pantun beritma hujung ‘aaaa’. Manakala, di bahagian pangkal dan tengah pula, adalah lebih indah jika dapat disusun ‘abab’ atau ‘aaaa’. Sebagai contoh,

Buah langsat kuning mencelah,
Senduduk tidak berbunga lagi;
Sudah dapat gading bertuah,
Tanduk tidak berguna lagi.

Dari mana punai melayang,
Dari paya turun ke padi;
Dari mana datangnya sayang,
Dari mata turun ke hati.

(bersambung)....

2 comments:

  1. Salam...terjumpa post ni semasa sedang menelaah google...saya juga merupakan peserta pesta pantun wKil hilir perak tahun 2006...

    ReplyDelete
  2. Salam...terjumpa post ni semasa sedang menelaah google...saya juga merupakan peserta pesta pantun wKil hilir perak tahun 2006...

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...