Sunday, December 19, 2010

A Moment with Oh Malaysia Blog's Author

Selama beberapa hari yang lepas, kami menerima kunjungan Amirrudin Said ke kediaman kami. Beliau yang sedang bercuti semester selama 3 bulan sudi meluangkan masa ke teratak kami walaupun tiada apa yang menarik. Berkunjung ke kuantan bukanlah suatu perkara yang sukar buat beliau kerana beliau berasal dari kemaman yang berkedudukan lebih kurang sejam dari sini.

Awal tahun hari tu, beliau sudah pun menjejakkan kaki ke rumah kami (sebelum cuti tahun baru Cina). Pada mulanya, mungkin jemputan saya membuatkan beliau risau sama ada dapat diterima atau tidak oleh ahli rumah ini berjumlah 10 orang. Namun, sikapnya yang ramah membuatkan beliau akhirmya membuat keputusan untuk tinggal selama beberapa hari di sini.


Beliau ialah pengemudi blog Oh Malaysia yang popular berkaitan isu terkini di Malaysia yang telah mencecah sebanyak 1500 followers hingga ke hari ini. Walaupun beliau kini sedang melanjutkan pelajaran di University of South Australia, Adelaide, namun ia tidak menjadi penghalang untuk beliau aktif dalam dunia blogging. Saya mengenali beliau sejak belajar dalam program persediaan ke luar negara di INTEC lagi.

Kehadiran beliau ke rumah kami menyerikan lagi keadaan kerana beliau sudi memasak untuk kami. Bukanlah bermaksud kami tak pandai masak tapi kali ini apa kata kita cuba rasa pula penangan pelajar Australia ini. Kalau diteliti blog beliau, beliau juga ada memasukkan entri berkaitan resepi masakan yang menarik.

Jumaat yang lepas, kami sempat meluangkan masa bermain boling di MegaLanes, Berjaya Megamall, Kuantan. Walaupun pada hakikatnya kebanyakan daripada kami (ahli rumah) tak pandai dan jarang bermain, namun apa boleh buat, BALING SAJA LA.. Tapi, dalam tak pandai main tu, ada jugak la yang strike (not bad). Namun bagi Amirrudin, bermain boling bukanlah sesuatu yang asing kerana beliau kerap meluangkan masa bermain sebelum ini walaupun berada di negara orang.






Apa-apa pun, terima kasih buat saudara Amir atas kesudian berkunjung dan berkongsi pengalaman berada di perantauan. Lain kali datanglah lagi. :)

Monday, December 6, 2010

Doa Akhir Tahun dan Awal Tahun

Doa Akhir Tahun dibaca 3 kali pada akhir waktu Asar atau sebelum masuk waktu Maghrib pada akhir bulan Zulhijjah.

Sesiapa yang membaca doa ini, Syaitan berkata

“Kesusahan bagiku dan sia-sia lah pekerjaanku menggoda anak Adam pada setahun ini dan Allah binasakan

aku satu saat jua. Dengan sebab membaca doa ini, Allah ampunkan dosanya setahun”


Doa Akhir Tahun


Doa Awal Tahun dibaca 3 kali selepas maghrib pada malam satu Muharram. Sesiapa yang membaca doa ini, Syaitan berkata

“Telah amanlah anak Adam ini daripada godaan pada tahun ini kerana Allah telah mewakilkan

dua Malaikat memeliharanya daripada fitnah Syaitan”.


Doa Awal Tahun


Tuesday, November 23, 2010

Jana Duit, Janalah Pekerti

Assalamualaikum.



Akhirnya peperiksaan final sem ini berakhir sudah. Sebab itulah blog ini sunyi seketika. Masih belum terlambat untuk mengucapkan salam aidiladha. Moga-moga sambutan aidiladha kali ini menanam erti kesederhanaan, kesyukuran dan pengorbanan dalam diri kita.

Entri kali ini ingin berbicara tentang bisnes sedikit. Walaupun saya tak ada ilmu mendalam dalam bisnes seperti rakan-rakan yang belajar dalam bidang bisnes mahupun yang terlibat dalam pelbagai jenis bisnes, saya rasa saya masih layak membincangkan soal bisnes. Kenapa? Ha, kenalah baca sampai habis. Bisnes ni bukan setakat multilevel marketing (MLM) atau buka kedai/supermarket je, tapi terlalu banyak untuk disebut. 9/10 daripada sumber pekerjaan pun datangnya melalui bisnes atau perniagaan ni. Tapi saya bukannya nak memperkenalkan apa-apa jenis bisnes sebab saya tak melibatkan diri waktu belajar ni. Tapi apa yang saya nak membincangkan adalah pendirian kita terhadap bisnes.

Bisnes tak lari dari risiko. Makin mencabar sesebuah perniagaan itu, makin berani orang yang melibatkan diri untuk menanggung risiko. Dan kredit bagi orang yang petah berkata-kata kerana dapat menarik orang untuk menjadi pelanggan dia. Tapi kadangkala terlalu petah atau pandai berkata-kata tak juga selalunya bijak kerana boleh jadi dia bakal termakan kata-katanya.

Bila ada rakan yang melibatkan diri dalam bisnes, mengapa kita perlu rasa dengki dan iri hati. Mungkin kerana dia bakal jana wang yang lumayan. Dan pada masa yang sama kita tak dapat merasa benda tu. Dah tu, kenapa tak join sekali? Sebab tak cukup modal. Jadi kenapa nak iri hati? Orang lain pun perlu keluarkan modal. Dan mereka menanggung risiko kalau2 tiada pulangan. Jadi, tak perlulah untuk rasa iri hati. Mereka berjaya dengan bisnes mereka. Anda juga boleh berjaya dan tak semestinya dengan melibatkan diri dalam bisnes mereka. Kalau anda seorang pelajar, belajarlah dengan sebaiknya untuk menjamin pekerjaan yang baik pada masa hadapan. Jangan sesekali menabur pasir ke dalam periuk nasi orang lain. Sebaliknya cabar diri untuk berjaya seperti mereka.

Saya memang menyokong jika ada rakan-rakan yang melibatkan diri dalam bisnes ni. Itu merupakan usaha yang baik dalam mempertingkatkan kualiti hidup selagi bersumberkan sumber yang halal. Tak perlulah saya nak sebut satu2 bisnes yang diceburi. Masing-masing dah tahu. Mengapa pula saya tak terlibat dalam bisnes seperti yang mereka ceburi? Sebab saya ada reason. Beza latarbelakang sosioekonomi keluarga menjadi penyebab. Saya kurang berkenan dengan segelintir individu yang menyamakan mereka yang berada dengan mereka yang kurang berada dari sudut kewangan. Mereka-mereka ini kurang memahami situasi sebenar setiap insan. Takkan anda nak melihat mereka-mereka yang datang dari keluarga yang susah enjoy habiskan duit poket dan membelanjakan duit dengan benda2 yang mahal ataupun menegeluarkan modal beribu2? Belajarlah memahami keadaan rakan-rakan anda.

Tapi bagi saya, melibatkan diri dalam bisnes perlulah seiring dengan pembangunan sahsiah diri. Jangan jadi TAMAK! Saya ulang jangan jadi TAMAK! Bisnes yang besar (income beribu2) awak nak ceburi, yang income puluh2 ringgit pun (sebab nampak orang lain berbisnes jugak) awak nak jugak. Cukup la sekadar dengan mengingati kisah anjing dengan bayang-bayangnya, sikap tamak ni tak bagus pun. Bahkan buruk lagi ada. Biarlah anda berjaya dalam perniagaan di samping membawa akhlak yang baik.

Sem lepas saya mengusahakan diri bersama-sama assyafiq bangun awal pagi untuk bekerja di dapur bagi menjual makanan di kelas. Saya tahu usaha ni taklah memberi keuntungan yang besar. Tapi cukuplah setakat buat duit spare kalau ada apa-apa yang bakal berlaku (tayar motor pancit ke dll). Mengorbankan masa awal-awal pagi dan membeli barang-barang bukanlah asing bagi diri ini. Lebih dari satu dekad (sejak tahun 2000) saya melibatkan diri membantu mak membuat dan menjual kuih. Sebab tu dah terbiasa. Tapi bila ada suatu hari tu dapat respons dari kawan-kawan yang ada sister siap tanya “halal ke ni?” bila beli nugget di dalam kelas, saya hanya mampu tertawa dan respons pada rakan, kenapa tak direct je jawab kat sister tu “haram!”? Ni perli namanya. Saya rasa, selama saya hidup ni tak pernah saya tanya tukang jual makanan2 macam ni soalan seperti ini. Takkan la orang melayu yang sama-sama belajar agama satu kelas sanggup jual makanan dari sumber yang haram kepada kawannya. Tapi mungkin dia sekadar bergurau. Sepatutnya, biarlah soalan yang ditanya mencerminkan intelek anda.

Cukuplah setakat ini dulu. Semoga kita sentiasa muhasabah diri. Hingga bertemu lagi.

Friday, October 29, 2010

THE REAL LIFE BEGINS III

Entri kali ni adalah kesinambungan daripada 2 entri pada awal tahun lepas (waktu tgh sibuk2 nk bsiap utk smbung blajar ke Australia). Tapi kali ni dalam bahasa Melayu. Senang nak cerita lebih.

Kalau dah ada yang pernah baca entri THE REAL LIFE BEGINS I & II, mesti taw entri ni tentang apa. Yup, tentang hal medical aku yang kadang-kadang merisaukan. Diagnosis yang sebenar pun tak diketahui. Cuma doktor masih syak tibi je. Sebenarnya satu kerisauan sekiranya seorang medical student (farmasi pun tergolong la) untuk dapat penyakit macam ni. Sebab berjangkit. Lagipun penyakit ni ambil masa yang lama. Sebab Mycobacterium tuberculosis jangka hidup dia mencecah 6 bulan (rasanya student farmasi taw je sbb blajar Microbiologi).

Kali ni kisahnya bermula dengan aku berjumpa Prof. Noriah. Selain berbual mengenai akademik, aku sempat bercerita keadaan kesihatanku. Akhirnya, dia suruh aku buat screening tibi. Dia cakap pergi dulu ke klinik UIA dan direct cakap yang aku nak buat TB screening. Then, aku pun pergi la. Lastly, klinik UIA refer aku ke Klinik Respiratori HTAA (provide supporting letter). Aku pun dengan keadaan tak taw selok-belok HTAA cuba la mencari. Tapi sebelum tu, klinik UIA provide aku dengan ubat Erythromycin, antihistamine and vitamin untuk beberapa hari. baru sehari dua aku makan ubat tu, aku dah suffer side effect erythromycin (tightness in breathing, chest pain & abdominal pain). Akhirya aku buat keputusan untuk stop pengambilan erythromycin tu. Dalam beberapa hari tu bila pergi kelas, Dr. Razak ada pulak bercerita tentang erythromycin. Katanya adalah salah untuk seorang doktor prescribe erythromycin awal-awal sebab ubat tu untuk second line defense. Aku ni plak penyakit pun tak taw lagi. Memang kena suffer la side effect dia.


Sekarang berbalik apa yang terjadi bila aku dah jumpa klinik respiratori HTAA. Macam biasa kena register dulu. Then, dia suruh wat Chest X-Ray kat Radiology Unit. Lepas tu dia bagi 2 bekas (macam botol ambik sampel urine tu) untuk aku bagi sampel kahak waktu tu jugak. Payah gak nak provide kahak bila kita tak batuk. Jangan rasa geli sebab medical field kena berdepan benda-benda ni. Then sebelum balik dia provide lagi 3 botol bekas macam tu untuk aku provide kahak awal pagi keesokannya (kat rumah) untuk dihantar ke hospital. Waktu aku pergi hospital tu mmg ada lecture. Dh miss 2 lecture penting. Kalau ada yang perasan aku masuk lec hall lpas gi hospital tu waktu kelas Dr. Kyi Kyi Tha siap bawak balik botol2 tu lagi. Segan pun ada.

Result dapat tau pada 26 Oktober (beberapa hari yang lepas) waktu appointment dgn doktor. Kalau awal tahun lepas berurusan di klinik respiratori Hospital Ipoh, berjumpa doktor pakar Cina perempuan yag garang (kerjanya tak puas hati je), kali ni pun lebih kurang. Doktor perempuan India yang jenis tak puas hati. Kerja nak marah je. Cuma kali ni bukan doktor pakar. Sabar je la. Keputusannya, negative tb berdasarkan sampel kahak cuma abnormal pada x-ray pada area tengah ke kanan sedikit (x clear). Kalau nak banding dengan x-ray waktu prepare ke Australia dulu, mcm ada perubahan sikit. X taw la.

Disebabkan x-ray tu, aku tpaksa buat follow up. X boleh tarik nafas lega. Kena undergo beberapa medical test. Sempat dengar perbualan doktor tu dengan pakar respiratori (Dr. How) berkenaan test yang berkaitan. Dan mengejutkan, kesemua test tu berharga RM310! Bila direnungkan jumlah tu amatlah besar. Dulu waktu nak prepare ke Australia pun mngalami kesempitan wang. Kena jumpa pakar dengan dikenakan RM180 (padahal xde treatment atau pemeriksaan dijalankan melainkan menulis laporan baru). Tapi bila difikirkan semula, memang kos perubatan sekarang mahal. Sedangkan ubat pun mahal (kata student farmasi, mestilah lebih tahu).

Dr. How ni rupanya pakar dan juga pensyarah UIA yang mengajar di KOM. Dia juga merupakan seorang profesor. Rupanya bilik dia bukan kat klinik respiratori tapi di bangunan lain (dept. MOPD - unit pakar HTAA) semalam sempat pergi ke unit tu. Bila sampai kat depan bilik Dr. How tu, ada signboard - "Pakar dan Pensyarah UIA". Wah, baru taw UIA pun ternama di HTAA. Hari berjumpa dengan doktor India tu, dah kena ambil sampel urine dengan withdraw blood (2 injection - satu di depan pergelangan kiri dan satu lagi di lengan kanan untuk fill up 4 botol masing2 5ml). Sakitnya memang sakit. Kena tahan la.

Semalam pulak sepatutnya kena buat Mantoux Test & bronchoscopy. Sempat la baca tantang bronchoscopy tu kat internet. Lepas tu terus risau. Prosedurnya merisaukan. Tapi bila dah pergi semalam, Dr. how tu marah plak doktor India tu. Katanya terlalu awal untuk aku undergo bronchscopy tu. Kena tunggu yang aku betul-betul -ve tb then baru bleh carry out. Paling cepat pun lepas start sem depan. Bila bersembang dengan nurse, dia kata prosedur dia xde la mnakutkan. Cuma akan rase kurang selesa macam batuk-batuk. Sebelum tu dia akan bagi local anesthesia dalam bentuk spray. Test ni akan visualise dalam komputer untuk tengok saluran pernafasan hingga ke peparu untuk cek kalau ada penyakit lain.

Mantoux test pulak (aka tuberculin test), rasanya tak perlu nk cerita pada yang belajar farmasi dan medic ni. Semuanya dh dpelajari dalam kelas. Cuma korang tak merasa je lagi. Sakitnya bukan kepalang. Macam BCG pun ada. Waktu suntik jarum dah sakit. Waktu dia tekan untuk masukkan ubat lagi sakit. lepas 3 hari kena pergi HTAA semula untuk wat Mantoux reading. Waktu menulis entri ni pun, aku tgh suffer itchig, redness n pain hasil Mantoux Test tu. Tanda-tanda +ve mantoux test. Dulu dah pernah wat waktu nak ke Australia. Waktu tu positif. Ni kali kedua dah kira tak risau sgt la. Ni adalah injection ke-3 dan yang keempat adalah untuk HIV test (resultnya -ve). Yang ni plak mcm inject utk wat ABO blood grouping. Yang kat hujung jari tu. Sakit ke tak, semuanya kena bersabar. Ni semua ujian dari Allah.

Lastly, aku diberi ubat-ubatan antituberculosis walaupun aku still -ve tb. Just untuk pre-treatment. Mengingatkan aku pada ubat-ubat jenis ni waktu seminar pharm prac 1st year dulu. Kumpulan nazmi yang present. Ubat-ubat yang diorang present - Rifampicin, Ethambutol & Streptomycin. Tapi kali ni aku kena makan ubat 4 dalm 1 tablet - Rifampicin, Isoniazid, Ethambutol & Pyrazinamide. Besar gile tablet dia. Tapi risau gak dengan side effect yang mgkin ada. Sempat tanya doktor tentang side effect dia. Dia kata antaranya - mata kekuningan (jaundice), nausea, hepatitis (tahap severe) dan sakit-sakit sendi. Doktor siap kata lagi "I don't need to brief u about the medications, u pharmacy students know better". Haha. Belajar pun baru stahun stengah. Alahai.

Next appointment dengan doktor - lepas start sem depan. Entri ini bukan sengaja untuk mencanang cerita peribadi kepada orang lain tetapi lebih kepada berkongsi pengalaman dan ilmu berkaitan dunia perubatan. Pelajar dalam bidang perubatan baru sahaja terdedah kepada basic dan belum berdepan dengan keadaan sebenar. Moga perkongsian ini berguna buat kita semua.

Sepanjang keadaan ni berlaku juga, sempat la rakan-rakan berpesan - ingat mati. Betul tu. Ingat mati buat kita insaf dan kurang lagha. Tapi ajal tak mengira sesiapa - yang sihat atau yang sakit. Moga-moga ini adalah ujian dari Allah untuk mendekatkan lagi diri kepada-Nya. Kepada yang sihat tu, gunalah nikmat sihat dengan perkara-perkara yang baik. Keseronokan alam remaja hanya sementara sahaja. Kebahagiaan dunia dan akhirat yang lebih utama.

Moga hari-hari mendatang lebih bermakna. :) Ma'as salamah.

Sunday, October 24, 2010

jujurkah aku

Maaf kalau entri kali ini menyentuh hati mana-mana pihak. Tetapi ini adalah cara untuk memperbetulkan kesilapan kita yang mungkin kita kurang sedar. Kita terlalu obses dengan matlamat dan hala tuju sehingga tidak nampak ruang kesilapan yang kita lakukan. Teguran ini khas buat diri saya dan rakan pelajar yang lain.


Cuba kita renung, apakah bererti andai kita berjaya menggenggam segulung ijazah andai dalam masa beberapa tahun akademik ini kita menempuhnya dengan tidak jujur. Dengan erti kata yang lain, adakah anda puas hati dengan kejayaan anda - lebih-lebih lagi berjaya menempatkan diri dalam kalangan pelajar terbaik - e.g. pointer atas 3.00, sedangkan apabila exam anda tidak jujur, apabila hantar assignment, anda tidak menyumbang sepenuhnya (hanya pada nama) dan apabila menyiapkan report, anda copy paste bulat-bulat (sama ada dari internet mahupun mengambil report rakan lain dan ubah nama, font dan sedikit isi sahaja).

Di mana usaha kita untuk berjaya itu? Kita terlalu mengejar matlamat sehingga guna jalan yang tidak betul. Kita sibuk membicarakan tentang perjuangan sehingga aspek kejujuran pada diri dan orang lain tidak dilaksanakan. Kita sibuk mencari, mengkritik dan memperbetulkan kesalahan orang lain tapi kita tipu diri sendiri, masyarakat dan tuhan yang menciptakan kita. Itukah yang dinamakan mengamalkan ajaran Islam sepenuhnya?

Pengalaman begitu mengajar. Apa yang dibanggakan dengan markah yang tinggi tapi semuanya hasil dari perbincangan dengan rakan-rakan ketika dalam dewan peperiksaan sebelum peperiksaan bermula? Ada yang terkejar-kejar untuk masuk awal ke dalam dewan peperiksaan (ingatkan mereka terlalu bersedia dengan peperiksaan dan apa jua soalan yang ditanya - membuatkan saya berasa teruk kerana selalu masuk lambat kerana kurang bersedia). Rupanya ada udang di sebalik batu. Membuka kertas soalan walaupun ditegaskan dengan arahan "you are not allowed to open this booklet until you are told to do so". Beberapa minit sebelum peperiksaan pun bermula - yang mana tak tahu, tanya pada yang tahu. Yang mana tahu, berkongsi pada yang tak tahu.

Kalau begitu, lebih baik tak payah buat kuiz atau peperiksaan. Kita cadangkan buat tutorial yang ada markah. Kalau nak bincang banyak pun tak kisah sebab bukan peperiksaan. Jadi andai kata anda peroleh markah sedikit tetapi anda jujur, hasil usaha anda dan bukannya orang lain, tidak perlu rasa susah hati. Yang penting anda berusaha secukupnya. Itu lebih baik dari mendapat markah yang terlalu tinggi tapi hanya kerana nasib dapat tanya pada yang tahu. Selamat (katanya..).

Begitu juga pada anda yang menjadi mangsa copy paste report (kawan pinjam dan hantar 'sebijik' report anda), jangan rasa susah hati kerana anda berusaha menyiapkannya. Anda telah berusaha untuk berjaya. Cuma ada insan yang suka ambil mudah dan mempergunakan anda. Lebih sakit jika orang yang meminjam report anda dapat markah report lebih tinggi dari anda. Yang penting markah yang anda dapat adalah hasil usaha anda (walaupun sedikit). Perkara ini mengingatkan saya pada kenyataan Dr. Tuah Iskandar bahawa generasi pada hari ini adalah kebanyakannya generasi 'copy and paste'. Bila mereka berada di alam pekerjaan, mereka mungkin membawa masalah (mungkin dari segi aplikasi ilmu). Sebab itu, sesetengah professional (contohnya pensyarah) yang betul-betul berjaya adalah mereka yang mengajar berdasarkan ilmu yang didalami dan tersimpan dalam kotak fikiran mereka dan tidak terlalu bersandarkan kepada bahan mengajar (e.g. powerpoint).

Moga-moga kita mula berfikir dan merenung perkara ini.
Selamat menempuh peperiksaan yang mendatang. Bittaufiq wannajah.

Friday, October 22, 2010

Membuang Elemen Negatif dalam Kemasyarakatan

Bismillahirrahmanirrahim.

Sampan kolek di hujung titi,
Tampak tenang tiada gelora,
Lama sudah blog ini menyepi,
Kini hadir membuka bicara.

Entri kali ini membawa anda memikirkan tentang perkara yang sentiasa menjadi penyakit dalam masyarakat kita khususnya orang Melayu. Suatu ketika dahulu, saya tertanya-tanya apakah idea yang disampaikan oleh penulis skrip drama adalah realistik dengan apa yang berlaku kini. Tapi setelah menyelami kehidupan yang sebenar, barulah saya mengakui betapa setiap elemen negatif dalam sesebuah drama memang ada berlaku dalam kehidupan kita seharian.

Saya tertarik untuk memfokuskan beberapa elemen negatif yang mungkin wujud dalam masyarakat kita pada hari ini. Mudah-mudahan ia menjadi iktibar untuk kita renungkan dan sentiasa bermuhasabah. Yang pertama - hasad dengki. Orang Melayu khususnya memang ada yang suka berdengki. Tak boleh tengok orang lain gembira. Tak boleh tengok orang lain senang. Ada sahaja perkara yang dia tak puas hati bila tengok orang lain gembira. Bagi dirinya, apa yang orang lain ada (keistimewaan), dia pun patut ada. Walhal dia tidak pula berusaha ke arah itu dengan cara yang baik sebaliknya menggunakan rancangan tidak baik agar orang yang gembira itu mengalami kesusahan. Perkara ini kadangkala berlaku pada mereka yang rapat dan telah membina kepercayaan antara satu sama lain. Apabila menerima hasutan dari orang lain (orang ketiga), maka unsur hasad mengaburi kepercayaan yang dibina.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
"Tidak berkumpul dalam hati seorang manusia antara iman dengan dengki."
(Hadith riwayat Ibnu Hibban dan Al-Baihaqi)


Contohnya, dulu saya selalu dengar yang orang kampung sangat mengambil berat antara satu sama lain di mana kemasyarakatan itu teguh dalam kalangan mereka. Tetapi bila ada 'makcik-makcik' yang menerima khabar anak rakan mereka yang berjaya - sama ada berjawatan besar, hidup mewah, berpendidikan tinggi, akan mendirikan rumah tangga dll, mereka mula merasa kurang senang. Lalu, ada yang menggunakan cara yang tidak baik (mungkin mem'bomoh', na'uzubillah) untuk menjadikan mereka puas hati (sekadar contoh).


Selain dari itu, ada juga individu yang menyimpan dasar 'egoism' dalam kehidupan sehariannya. Segala yang dilakukan adalah bertujuan untuk memberi manfaat kepada dirinya sahaja. Kadang-kadang kita tidak sedar bahawa perkara itu wujud dalam diri kita. Apabila perkara ini berlaku, ia turut mengundang gejala yang lain seperti rasuah. Kita selalu fikir rasuah melibatkan golongan-golongan bertaraf mewah - ahli politik, ahli perniagaan, institusi kehakiman dll. Tapi perkara ini juga berlaku pada mereka tidak kira apa jenis latar belakang kewangan sekali pun. Justeru konsep 'mempergunakan' orang lain bertakhta dalam diri setiap individu. Jika anda menyelami kehidupan yang sebenar, anda akan dapat membezakan golongan jenis ini dengan mereka yang melakukan setiap perkara demi mendapat rahmat dan kasih sayang dari tuhannya.

Mengapa kasih sayang sesama saudara Islam makin pudar sehingga ke hari ini? Kerana kita menjadikan orang lain sebagai tempat untuk kita mencapai tujuan yang kita rancangkan. Kita fikir perkara seperti itu tidak mengandungi unsur negatif. Tetapi kalau direnungkan semula, bayangkanlah apa yang anda akan rasa sekiranya semua individu di sekitar anda datang kepada anda, meminta anda berbuat sesuatu untuk kepentingan mereka dan pergi meninggalkan anda tanpa memberikan sedikit pun manfaat kepada anda. Lantas situasi sebeginilah yang menjadi barah dalam silaturrahim dan kepercayaan yang dibina.

Ada juga segelintir masyarakat kita pada hari ini yang menjadikan sedikit kelebihan yang mereka ada untuk 'menguasai' orang lain. Kita perlu faham bahawa konsep 'menguasai' orang lain ini adalah jauh dari konsep kepemimpinan (leadership) yang perlu kita ada. Bukan semua orang petah berkata-kata, bukan semua orang lahir dalam keluarga berada dan bukan semua orang terdidik untuk mahir dalam setiap perkara. Kadangkala, kita tidak perasan apabila kita hebat dalam sesuatu perkara, kita 'mengarah' dan marah orang lain yang kurang berpengetahuan dalam bidang itu. Kita suka menuding jari tanpa memikirkan yang setiap daripada kita tidak terlepas dari kesilapan.

Lantas unsur ini menanam sikap pemarah dalam diri kita apabila kita mengandaikan setiap individu di sekeliling kita sentiasa melakukan kesilapan (tak tahu dalam banyak benda) walhal kita juga ada melakukan kesilapan. Contohnya, apabila kita dipertanggungjawabkan untuk sesuatu tugas dalam sesebuah organisasi atau program, kita tidak boleh meletakkan expectation yang terlalu tinggi kepada orang yang bekerja di bawah kita sehingga mengambil keputusan untuk menyalahkan mereka dalam segenap perkara. Sebaliknya tegurlah dan berilah tunjuk ajar sebaiknya kerana setiap manusia ada hati dan perasaan.

Rasanya cukup sekadar ini dahulu untuk entri kali ini. Sehingga bertemu lagi.
Ma'as salamah.

Saturday, September 18, 2010

10 Bangunan Tertinggi di Dunia

Sedar tak sedar dah 9 Syawal pada hari ini. Aidilfitri dah pun berlalu, jadi ramai yang dah bersiap untuk memulakan sama ada sesi persekolahan, pengajian di universiti mahupun kembali bertugas. Sebelum itu, apa kata kita tambah sedikit pengetahuan am dengan mengetahui apakah 10 bangunan tertinggi di dunia beserta ranking terkini:

No. 1

Burj Khalifa (Burj Dubai, or Dubai Tower), Dubai, UAE.
Binaannya siap pada tahun 2010. Dengan ketinggian 162 tingkat dan 828 m atau 2,717 kaki, bangunan ini menjadi pencakar langit tertinggi di dunia ketika ini mengalahkan bangunan Taipei 101 Tower yang diiktiraf bangunan paling tinggi di dunia sebelum ini. Arkiteknya ialah Skidmore, Owings & Merrill.


No. 2

Taipei 101 Tower, Taipei, Taiwan.
Tahun: 2004, 101 tingkat, 509 meter dan 1,670 kaki. Arkitek: C.Y. Lee & Partner

No. 3

Shanghai World Financial Center, China.
Tahun: 2008, mempunyai 101 tingkat, ketinggian: 492 meter atau 1,614 kaki. Arkitek: Kohn Pedersen Fox.


No. 4

Petronas Towers 1 & 2, Kuala Lumpur, Malaysia.
Siap dibina pada tahun 1998. Mempunyai 88 tingkat dengan ketinggian 452 meter atau 1,483 kaki. Arkiteknya adalah Cesar Pelli.

No. 5

Willis Tower (formerly Sears Tower), Chicago.
Tahun: 1974, mempunyai 110 tingkat dengan ketinggian 442 meter atau 1,450 kaki. Arkitek: Bruce Graham (SOM).

No. 6

Jin Mao Building, Shanghai.
Tahun: 1999, mempunyai 88 tingkat dengan ketinggian 421 meter atau 1,381 kaki. Arkitek: Skidmore, Owings & Merrill
.

No. 7

Two International Finance Centre (IFC), Hong Kong.
Tahun: 2003, mempunyai 88 tingkat dengan ketinggian 414 meter atau 1,362 kaki. Arkitek: Cesar Pelli.

No. 8

CITIC Plaza, China International Trust, Guanzhou.
Tahun: 1997, mempunyai 80 tingkat dengan ketinggian 391 meter atau 1,283 kaki. Arkitek: DLN
.

No. 9

Shun Hing Square, Shenzhen, China.
Tahun: 1996, mempunyai 69 tingkat dengan ketinggian 384 meter atau 1,260 kaki. Arkitek: K.Y. Cheung Design Assc.


No. 10

Empire State Building, New York.
Tahun: 1931, mempunyai 102 tingkat dengan ketinggian 381 meter atau 1,250 kaki. Arkitek: Shreve, Lamb and Harmon.

Friday, September 3, 2010

Perlukah 'Ganyang Malaysia'?

Saya berfikir sejenak selepas melepaskan rindu terhadap emak melalui perbualan telefon. Saya tertanya-tanya mengapa emak begitu berkeras menasihatkan saya agar membatalkan sahaja niat untuk memohon mengikuti program Asia Pacific Pharmaceutical Symposium yang bakal berlangsung di Yogyakarta pada tahun hadapan. Emak kata selain daripada bencana alam yang sering melanda bandar itu, emak bimbang akan ancaman rakyat setempat terhadap para pelajar Malaysia ketika ini.

Setelah menyelak dada akhbar, barulah saya faham akan situasi yang berlaku di negara Indonesia kini. Kumpulan Benteng Demokrasi Rakyat Malaysia (BENDERA) berkeras melancarkan kempen 'Ganyang Malaysia' sekiranya pemimpin mereka tetap berlembut terhadap tindakan Malaysia yang dikatakan menghina bangsa dan kedaulatan Indonesia. Antara tindakan agresif yang ditunjukkan oleh mereka adalah seperti membaling telur dan ikan masin busuk ke kedutaan Malaysia, mengotorkan Jalur Gemilang dengan telur sebelum dibakar dan dilemparkan bendera yang separuh terbakar itu ke dalam kedutaan Malaysia. Selepas itu mereka mula melancarkan pemboikotan barangan buatan Malaysia dan gerakan 'weeping' rakyat Malaysia yang bersifat keterlaluan.

Persoalannya di sini, apakah rakyat Malaysia secara umumnya berhati busuk untuk menghina kedaulatan Indonesia? Untungkah pihak-pihak yang melancarkan demonstrasi jalanan yang akhirnya berkesudahan membusukkan nama negara? Adakah rakyat Malaysia secara umumnya begitu kejam sebagaimana kejamnya Israel terhadap Palestin? Sesungguhnya 'Ganyang' ini memang tidak masuk akal.

Tindakan seperti ini sungguh tidak matang. Rakyat Indonesia yang terlibat dengan demonstrasi dan ancaman ini begitu membuang masa. Adalah lebih baik jika anda membuat demonstrasi jalanan mengecam tindakan Israel terhadap Palestin dan menunjukkan semangat jihad yang tinggi. Dengan populasi masyarakat Islam antara yang teramai di dunia, perkara seperti ini memang tidak masuk akal. Saya yakin dan percaya kumpulan-kumpulan yang melancarkan 'ganyang' ini diupah oleh pihak yang tidak bertanggungjawab sepertimana yang dinyatakan beberapa individu di negara ini.

Bukan semua rakyat Indonesia berfikiran sempit seperti itu. Realitinya, kumpulan-kumpulan ini yang memalukan rakyat negara mereka. Saya yakin rakyat Indonesia yang bekerja di sini bersikap terbuka dan tidak berfikiran jumud seperti kumpulan-kumpulan itu. Buktinya, masakan pensyarah-pensyarah saya mempunyai kewarganegaraan Indonesia begitu ramah dengan para pelajar Malaysia.

Jika dahulu, isu kesenian dan kebudayaan rakyat Malaysia yang dikatakan diciplak dari keseniaan rakyat Indonesia menjadi isu yang hangat diperkatakan sehingga sesetengah rakyat Indonesia meluahkan rasa benci pada Malaysia. Namun begitu, jika difikir balik tentang asal usul orang Melayu, memang tidak dinafikan asal kita adalah dari negara seberang (Indonesia). Parameswara sendiri datangnya dari kerajaan Srivijaya yang akhirnya menjadi pemerintah Melaka. Jadi tiada alasan mengatakan rakyat Malaysia 'mencuri' kesenian masyarakat Indonesia berdasarkan asal usul. Mana mungkin rakyat Malaysia bebas dari sebarang kebudayaan bercirikan Indonesia sedangkan masyarakat Jawa, Banjar, Bugis dan Minang sudah lama bertapak di sini.

Pada hemat saya, negara Malaysia bukanlah negara yang sombong sehingga tidak mahu menerima pendapat negara lain. Cuma, pemimpin perlulah lebih bersedia dalam menyuarakan sebarang isu dan masalah agar ia dapat menjumpai jalan penyelesaian. Sekali lagi ingin saya katakan, berfikiranlah lebih matang. Jangan wujudkan ancaman sesama saudara seIslam!

Saturday, August 28, 2010

Lelaki Itu

Dia mempunyai warna kulit yang biasa dan semula jadi.
Dia mampu ketawa, tapi di tak mampu menangis kerana tiada air mata yang akan berderai. Sekiranya anda bersikap kurang ajar dengannya, mukanya tidak akan menjadi merah dan berita buruk yang dikhabarkan kepadanya pula tidak akan membuatkan dia kelihatan pucat.
Stokin dan kolar bajunya sentiasa bersih dan tidak berbau.



Dia memakai bengkung dan sekiranya anda menjumpainya di luar,
dia akan kelihatan tidak tenang dan tidak boleh duduk diam
(sewaktu dia memakai bengkung, dia mungkin akan mula pucat dan pitam).
Genggaman tangannya sentiasa panas dan kering.
Keadaannya yang sering tidak boleh duduk diam adalah untuk
memastikan kecekapan aliran darah dari kaki.
Dia tidak suka bercakap banyak melainkan ada sesuatu yang boleh
melembapkan mulut dan tekaknya yang kering.
Dia tidak boleh memfokuskan matanya untuk pandangan jarak dekat dan
senang menjadi buta sekiranya terdedah kepada cahaya yang terlalu terang.
Dia sentiasa bersikap ‘gentlemen’ dan tak pernah sendawa dan tersedu.
Dia mudah merasa sejuk dan sentiasa berkubung.
Kesihatannya baik kerana tidak mendapat penyakit seperti
tekanan darah tinggi dan ulser perut.
Dia kelihatan kurus kerana selera makannya sederhana,
tak pernah merasa lapar yang teramat dan perutnya tidak pernah berkoroncong.
Dia senang mendapat sembelit justeru pengambilan liquid paraffinnya adalah tinggi.
Apabila usianya makin meningkat, dia bakal menderita kencing yang tidak lawas dan mati pucuk tetapi kekerapan dan kesakitan membuang air kecil
bukanlah sesuatu yang dia risaukan.
Orang ramai tidak dapat menduga bila akan berakhir tetapi sekiranya dia tidak berhati-hati dan sentiasa mengurangi makan, dia akan terus merasa sejuk, dan bakal berhadapan koma disebabkan rendah paras gula dalam darah dan akhirnya mati;
kematian yang disebabkan oleh suhu dikenali sebagai “entropy death”.

Lelaki itu adalah "Hexamethonium Man".

p/s: Hexamethonium adalah sejenis ubat (drug) yang memblok ganglion saraf dalam badan manusia.


W.D.M. Paton, Pharm. Rev. 6, 59 (1954)

Tuesday, August 24, 2010

Hapuskan Keraguanmu

Berkenaan entri saya sebelum ini iaitu Hukum ASB, ASN yang saya publish beberapa hari yang lepas, ramai yang memberi respon dan tidak kurang juga menyuarakan pendapat masing-masing secara verbal kepada saya. Perlu diingatkan, saya bukanlah mereka yang belajar ilmu syariah Islamiah secara mendalam seperti mereka yang sedang belajar bidang terbabit di IPT mahupun ustaz-ustaz dan pegawai syariah. Saya hanya mengumpulkan maklumat mengenai sesuatu perkara dan berusaha untuk tidak berat sebelah. Maklumat yang dinyatakan masih boleh dibincangkan selagi mana fakta dan ilmu yang dinyatakan tidak bertentangan dengan lingkungan syarak. Dalam agama Islam sendiri, ada fatwa atau hukum yang disepakati dan ada yang tidak disepakati oleh para ulamak. Justeru, kita sebagai umat Islam perlu menggunakan nikmat akal yang dikurniakan Allah di samping memperdalamkan ilmu agar kita tidak goyah dalam menegakkan syiar Islam di muka bumi Allah ini.

Di sini saya nyatakan petikan yang saya peroleh dari laman web Ustaz Zaharuddin mengenai sumber dan pendapat majlis fatwa negeri dan para ulamak mengenai isu ini:

Pandangan Yang Mengharuskan

Antara yang mengharuskan adalah Majlis Fatwa Perak, Majlis Fatwa Sarawak dan beberapa tokoh akademik.

Teks keputusan fatwa Perak berbunyi:-

Untuk makluman tuan mesyuarat jawatankuaa syariah perak yang berlangsung pada 1 Ogos 1992, membuat keputusan berdasarkan pendapat terbanyak serta dengan alasan-alasan syarak yang dikemukakan adalah seperti berikut :

"Bermuamalah dengan skim ASN dan ASB adalah harus dan segala keuntungannya berupa dividen atau bonus hukumnya HALAL".

Antara alasan-alasan yang dikemukakan ialah :

1. Penglibatan umat Islam dengan skim ASN dan ASB yang ditaja oleh kerajaan begi membiak, mengembang dan meningkat ekonomi orang Islam di Negara ini yang bermuamalah atas jalan ‘Qirad. Apabila didapati pelaburannya kepada yang halal lebih banyak daripada yang haram hukumnya adalah HARUS sepertimana nas yang terdapat didalam kitab.

a- Ihya Ulumiddin

b- Al-Fawaid al-Janiah Fi Al-Ashbah Wa An-Nazair ‘Ala Mazhab As-Syafie

2. Kedudukan ekonomi anak bumi khasnya umat Islam di negara ini dalam keadaan tenat dan sampai ke tahap darurat. Darurat yang dimaksudkan itu ialah dilihat dari aspek. ekonomi umat secara berkelompok bukan dari sudut individu.

Teks fatwa Negeri Sarawak pula berbunyi:-

Ahli mesyuarat bersependapat bahawa bermuamalah dengan skim ASN adalah harus dan hasil yang diperolehi daripadanya (dividen atau bonus) adalah halal. Amanah Bumiputra ASB pelaksanaannya sama seperti ASN yang dahulu (sebelum diurusniaga di dalam Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) bahkan ia adalah kesinambungan kepada ASN bermuamalah atau melabur saham kepada ASB adalah juga harus dan hasil keuntungan daripadanya adalah halal. Tidak harus bagi seseorang itu meminjam wang secara berfaedah yang bertujuan untuk membolehnya membeli saham (ASB & ASN)

Fatwa Yang Mengharamkan

Antara fatwa yang mengharamkan adalah Majlis Fatwa Selangor. Teks mereka adalah seperti berikut:-

1. Ahli Jawatankuasa Perunding Hukum Syara' (Fatwa) telah membincangkan perkara di atas dengan penuh teliti dan panjang lebar dan mengambil keputusan seperti berikut :

1.1. Zakat Daripada Wang Bonus Dan Dividen ASB
Keputusannya :
" Wang bonus dan dividen yang diterima daripada hasil pelaburan ASB adalah tidak diwajibkan zakat kerana pelaburan bercanggah dengan hukum syara' "

1.2. Bolehkah wang digunakan pergi menunaikan Haji ke Tanah Suci Mekah
Keputusannya


" Ahli Jawatankuasa yang hadir bersetuju memberi pandangan bahawa oleh kerana pelaburan ASB pada masa ini, terdapat pelaburan di tempat-tempat yang bercanggah dengan hukum syara', maka ia tidak diharuskan sehingga pihak ASB membersihkan dan tempat-tempat tersebut.



Ahli Jawatankuasa Perundingan Hukum Syara'(Fatwa) yang hadir bersetuju memberi pandangan bahawa. oleh kerana pelaburan ASB pada masa ini terdapat pelaburan di tempat-tempat yang bercanggah dengan hukum syara'. maka ia tidak diharuskan sehingga pihak ASB membersihkan dari tempat-tempat tersebut.

Sebab pengharaman:


1) Aqad Pelaburannya Tidak Jelas
2) Jaminan modal atau ‘capital' juga menyebabkan aqad pelaburannya bermasalah dari sudut Shariah.
3) Dana terkumpul dilabur secara bercampur di dalam industri halal dan haram.

Pelaburannya bercampur dengan yang haram lebih daripada 30 peratus. ASB juga TIDAK PERNAH DIBINCANGKAN OLEH Majlis Penasihat Shariah Suruhanjaya Sekuriti DAN OLEH KERANA ITU, ia tidak termasuk di dalam senarai kaunter yang jelas statusnya.

Ia bermasalah dari sudut Shariah kerana menurut statistic tahun 2005, dana ASB telah dilaburkan di beberapa tempat yang haram seperti :-

1- Sebanyak 37.30 % ke sebuah bank konvensional terbesar.

2- Commerce Asset Holdings Berhad (Konvensional) - 1.11 %

3- British American Tobacco berhad 1.07 %

Majlis Shariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia yang bertanggung jawab dalam mengenalpasti dan meletakkan fatwa berwibawa untuk menentukan sesebuah kaunter atau dana pelaburan itu halal disertai oleh umat Islam atau tidak, pernah meletakkan kadar 33 peratus industri haram sebagai had larangan melabur dalam syarikat atau pengurus dan bercampur halal haram.

Sumber: http://www.zaharuddin.net/

Oleh yang demikian, saya berharap para pembaca dapat menilai dengan yakin akan hukum melabur dalam ASB dan ASN ini. Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan mengharuskan melabur di ASB dan ASN manakala Majlis Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia menetapkan bahwa skim ini tidak patuh syariah. Terpulang kepada anda untuk meyakini salah satu daripada ini.

p/s: Akaun Pelaburan-i Al-Awfar Bank Islam dan Takaful Insurans merupakan dua skim pelaburan yang boleh dicuba kerana sumber dan pelaksanaannya diketahui halal kerana membawa konsep Al-Mudharabah.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...