Saturday, August 7, 2010

Tirmizi Ali Juara Akademi Al-Quran 4

Tekaan bahawa saudara Ahmad Tirmizi Hj. Ali, 25, bakal menjuarai Akademi Al Quran musim keempat telah pun menjadi kenyataan. Beliau dinobatkan sebagai johan mengalahkan pesaing terdekat beliau adik Muhammad bin Ahmad Zahid yang berjaya merangkul tempat kedua. Beliau membawa pulang wang tunai RM 30,000, trofi tajaan ZRA Glocal, pakej menunaikan umrah tajaan Irna Yakin Travel & Tours dan sebuah Al-Quran digital sumbangan ENMAC. Saudara Tarmizi Ali mengikut jejak langkah saudara Abdullah Fahmi, saudara Anuar Hasin dan saudara Fakhrul Razi yang masing-masing dinobatkan sebagai johan Akademi Al-Quran musim pertama hingga ketiga.

Sementara itu, adik Muhammad bin Ahmad Zahid yang merangkul naib johan pula berjaya membawa pulang wang tunai berjumlah RM 15,000. Beliau yang berumur 15 tahun merupakan seorang tahfiz 30 juzuk yang berjaya menempah nama di peringkat antarabangsa. Manakala tempat ketiga disandang oleh saudara Yahya Hj. Ali, 23, yang juga merupakan adik kepada Ahmad Tirmizi. Beliau berjaya membawa pulang wang tunai berjumlah RM 10,000. Seorang lagi peserta akhir Akademi Al-Quran 4, saudara Husni Ali Hassan, 25, berjaya mendapat tempat keempat dengan membawa pulang wang tunai RM 2,000.

Peringkat akhir Akademi Al-Quran musim keempat ini telah berlangsung pada 6 Ogos yang lalu (Jumaat) bermula jam 9 malam bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang telah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB Senator Mejor Jeneral(B), Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Pengerusi Media Prima Berhad, Datuk Johan Jaafar dan Ketua Pengurus Besar TV9, Sherina Nordin. Pertandingan peringkat akhir ini telah dihoskan oleh Ustaz Mohd Zamri Zinuldin, Sharifah Khasif Fadzilah dan Aida, juara Gadis Melayu musim pertama.

1 comment:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...